Pengundi anggap pemimpin Sabah 'semua sama saja bah', personaliti calon jadi penentu

SHAH ALAM - Pengundi Sabah menganggap semua pemimpin sebagai ‘sama' sekali gus menjadikan faktor personaliti yang dekat dengan rakyat serta mempunyai kelebihan sumber bakal mendominasi potensi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, berdasarkan sentimen tersebut ia bakal memberi kelebihan kepada penyandang manakala tempoh berkempen juga dijangka menjadi penentu kepada calon parti bertanding.

Menurutnya, dapatan berkenaan adalah hasil kajian yang dilakukan pada Jun lalu yang dilihat masih relevan sehingga menjelang PRN.

“Secara umumnya, antara tagline yang agak menarik ialah ‘semua sama saja bah’. Pengundi rasa semua pihak sama. Kalau nak bincang isu rasuah, siapa (pemimpin) yang boleh menjamin mereka itu bersih? Jadi dalam konteks itu, pengundi kata semua (pemimpin) sama.

“Bagi kami sebagai pengkaji, pengundi tahu ada isu rasuah, tapi siapa sebenarnya yang lebih bersih untuk menawarkan khidmat? Jadi dalam konteks itu, ia akan pergi kepada personaliti.

“Bila pergi kepada pola pengundian, ia akan tertumpu kepada siapa calon. Ini sebenarnya memberi kelebihan kepada penyandang. Pokok pangkalnya personaliti memainkan peranan penting. Jadi, siapa individu yang telah berkhidmat dan menabur budi kepada pengundi di kawasan itu akan menjadi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Interviu bertajuk Bakal Berubahkah Sabah? yang dihoskan oleh Haizir Othman dan disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Hisomudin menambah, tumpuan terhadap personaliti calon secara tidak langsung akan menenggelamkan isu-isu kontroversi yang melatari politik Sabah, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada strategi kempen.

“Kemudian kita akan lihat bagaimana jentera parti memanfaatkan apa sahaja elemen untuk mengalihkan isu kepada personaliti yang mereka pertaruhkan dalam PRN akan datang,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan kelaziman di Sabah, kebiasaannya personaliti tumpuan melibatkan sumber, dana politik dan tidak menolak kewujudan politik wang dalam menentukan sikap pengundi.

“Kami mendapati, sejak dahulu trend di Sabah lebih menumpukan kepada calon yang rapat dengan rakyat, bergantung kepada personaliti yang mempunyai sumber. Maksudnya, kalau ada rakyat datang, dia boleh bantu.

“Jadi, sebahagian pengundi melihat elemen itu sebagai penghalang kepada proses melakukan perubahan atau tadbir urus yang lebih baik,” katanya.