SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mempersoalkan pendirian Malaysia berhubung jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, selain turut mempertikai sama ada Trump layak diajak bermusyawarah atau berbincang dalam usaha perdamaian di Semenanjung Gaza.
Sambil mengaitkan pertemuan Trump dengan pemimpin beberapa negara Islam terpilih termasuk negara Arab, Abdul Hadi turut meragui sebarang manfaat sebalik perbincangan bersama Trump yang dianggap mewakili kepentingan blok Barat yang selama ini menyokong Israel.
"Adakah pertemuan itu sekadar mendengar khutbah Trump atau membawa mesej Islam yang kuat dan beristiqamah?
"Adakah mereka yang mewakili umat Islam itu menerima cadangan perdamaian pihak Amerika Syarikat dan sekutunya, dengan syarat menubuhkan negara Palestin yang sekular serta tidak ada kedaulatan Islam dan umatnya yang tidak menjadi ancaman kepada Israel, berserta syarat melucutkan senjata pihak Islam?
"Hanya Israel sahaja yang berhak memiliki senjata. Adapun pihak Palestin, negara Islam, termasuk jirannya, negara Arab menjadi penjamin kepada perdamaian tersebut supaya memenuhi syarat-syaratnya. Langkah tersebut adalah sama sebagaimana pada tahun 1948 bagi menyelamatkan negara haram Israel.
"Apakah pendirian Malaysia yang telah menjemput Trump bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ketika giliran Malaysia menjadi pengerusinya? Pendirian Malaysia hanya dapat ditentukan dalam agenda jemputan kepada Trump, adakah ia akan diteruskan atau dibatalkan?" soalnya menerusi Minda Presiden Pas pada Selasa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.
Beliau menegaskan, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin dan Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menambah, AS dilihat mengambil langkah bagi menyelamatkan Israel susulan tekanan dunia mengiktiraf penubuhan negara Palestin.
"Propaganda anti-Islam disebarkan dengan slogan bohong 'Islam paling ganas', dalam keadaan masyarakat antarabangsa menyaksikan kekejaman Israel, lalu mereka bersimpati kepada rakyat Palestin yang dibelasah dan mereka menunjukkan perubahan sikap kepada benci akan Zionis, sehingga menekan kerajaan masing-masing supaya mengiktiraf penubuhan negara Palestin.
"Keadaan ini menjadikan Amerika Syarikat dan sekutunya mengambil langkah bagi menyelamatkan Israel yang gagal menghancurkan Gaza yang kecil dan menawannya," katanya.
Sebelum itu, media antarabangsa melaporkan, Trump menyifatkan mesyuarat pelbagai hala yang diadakan pada Selasa bersama pemimpin beberapa negara majoriti Islam berhubung Gaza sebagai 'sangat berjaya'.