SHAH ALAM – Kerajaan Sabah kini berada pada masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan perkembangan semasa yang dilihat meredakan beberapa isu panas.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, tumpuan terhadap isu antaranya kes Zara Qairina dan isu rasuah Sabah dijangka reda sekali gus mewujudkan fasa normal untuk berkempen bagi semua pihak.
Menurutnya, pendedahan inkues kes Zara Qairina setakat ini juga dilihat bercanggah dengan naratif panas yang berlegar di media sosial sekali gus mengurangkan tekanan kepada kerajaan negeri.
“Akan berlaku surutan tumpuan. Elemen-elemen panas akan berkurang kerana pendedahan inkues setakat ini bercanggah dengan naratif yang dibawa oleh netizen ketika menyemarakkan gelombang Zara Qairina waktu itu.
“Jadi, kerajaan pun tiada pilihan apabila perkara itu menjadi sesuatu yang mungkin di luar kawalan. Namun, berdasarkan pengamatan saya dan sentimen analisis sekarang, isu Zara Qairina sudah reda.
“Bagi saya, ini masa yang sesuai untuk kerajaan negeri membuat keputusan membubarkan DUN,” katanya dalam Program Interviu bertajuk Bakal Berubahkah Sabah? yang dihoskan oleh Haizir Othman dan disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Hisomudin menambah, capaian pengundi terhadap isu rasuah negeri itu juga dilihat tidak begitu meluas, sekali gus menguatkan jangkaan bahawa waktu ini sesuai untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Bagi isu rasuah, memang ada, tetapi hanya liputan media secara umum. Di kawasan tertentu, serangan itu tidak tajam. Parti politik juga tidak all out untuk menyerang, mungkin mereka menunggu pada fasa kempen.
“Tapi kita tahu dalam fasa ini, kawasan atau demografi Sabah luas. Untuk sampai sesuatu maklumat sehingga mampu mengubah pola pemikiran pengundi akan mengambil masa,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, peluang memenangi PRN Sabah masih terbuka kepada semua pihak yang bertanding namun bergantung kepada segmen pengundi.
Katanya, kawasan pengundi majoriti Melayu Islam dijangka menyaksikan persaingan sengit antara UMNO dan GRS.
“Etnik juga memainkan peranan... sebagai contoh, jika ada DUN tertentu mempunyai calon yang kebetulan datang daripada etnik tersebut, maka pengundi cenderung memilih calon berkenaan. Itu juga perlu diambil kira,” jelas beliau.