Bersatu Perak desak tindakan tegas terhadap Wan Saiful

IPOH - Ketua-ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak mendesak tindakan disiplin dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung kenyataan yang didakwa bercanggah dengan dasar dan disiplin parti.

Mereka menegaskan kenyataan yang dibuat Wan Saiful bersama beberapa pemimpin bahagian lain pada Isnin itu bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat.

"Kenyataan itu langsung tidak mencerminkan disiplin dan adab berorganisasi yang menjadi tunjang dan kekuatan kepada Bersatu sejak awal penubuhannya," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut mereka, parti mempunyai saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan atau menyelesaikan perbezaan pendapat dan bukannya melalui kenyataan terbuka dengan nada mencabar kepimpinan.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan terbuka sedemikian hanya membuka ruang fitnah dan mengundang keraguan terhadap kesatuan saf perjuangan Bersatu.

"Kami menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi dan Lembaga Disiplin Parti supaya mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli, termasuk Datuk Wan Saiful, bagi mengelak gejala tidak berdisiplin terus berulang dan menular dalam parti," ujar kenyataan itu lagi.

Mereka turut meminta ahli di semua peringkat untuk kekal teguh memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Bersatu yang juga pengasas parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinan parti.

"Kami berharap semua ahli tidak terpengaruh dengan mana-mana gerakan yang boleh merosakkan nama baik Bersatu," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani 15 pemimpin Bersatu Perak iaitu Ketua Bahagian Batu Gajah, Mohader Ahmad Mohammad Ayob; Mohammad Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat); Datuk Azhar Anuar (Bagan Datuk); Dr Hashim Bujang (Kuala Kangsar); Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (Tanjung Malim); Kader Maideen Hussain (Taiping); dan Khairul Azuan Mohamed Noor (Lenggong)

Turut menandatangani ialah Ketua Bahagian Lumut, Mohd Azrien Mohd Salleh; Md Nayan Salleh (Parti Buntar); Ahmad Lutpi Abdul Wahab (Sungai Siput); Ruslan Shaari (Gerik); Ahmad Faisal Mansor (Beruas); Ismail Ali (Bagan Serai); Hishammudin Tajuddin (Parit); serta Timbalan Ketua Bahagian Tambun, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.