GEORGE TOWN - Pas Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menggunakan logo parti sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, seperti yang disuarakan sebelum ini.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, keputusan tersebut adalah hak parti berasaskan strategi politik masing-masing, dan Pas menghormati pendirian serta keyakinan Gerakan.
Menurutnya, Pas melihat langkah ini sebagai manifestasi kematangan politik dalam blok pembangkang yang meraikan kepelbagaian serta memperkukuhkan lagi semangat kerjasama strategik demi kepentingan rakyat.
"Pas Pulau Pinang meraikan sebarang tindakan yang mungkin meningkatkan kepercayaan rakyat selagi mana komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tetap menjaga persefahaman, kesatuan hati dan hala tuju perjuangan, bahkan tindakan menggunakan logo parti ini telah terbukti menjadi senjata ampuh di beberapa buah negeri pada PRU ke-15.
"Kami percaya, walaupun dengan penggunaan logo berbeza, matlamat utama untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat, menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat iaitu berasaskan keadilan, kesejahteraan, dan tadbir urus yang bersih serta menolak politik sempit yang memecahbelahkan masyarakat tetap akan menjadi titik temu utama antara rakan-rakan gabungan,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Gerakan Pulau Pinang mahu kembali tampil dengan identiti mereka sendiri apabila bercadang menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pihaknya berharap pimpinan Parti Gerakan Pusat dapat memohon kebenaran supaya Gerakan Pulau Pinang bertanding menggunakan logo parti memandangkan Perikatan Nasional (PN) pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.
"Dengan adanya kebenaran itu, ia dapat memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali melihat logo Parti Gerakan di kertas undi selepas sekian lama,” katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan Parti Gerakan Pulau Pinang 2025 pada Ahad lalu.
Persidangan itu dirasmikan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz berkata, Pas akan terus bekerjasama erat dengan Gerakan dan semua parti terutama dalam PN dalam menggembleng tenaga dan idea bagi memastikan aspirasi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia dapat direalisasikan.