UMNO Sabah desak SPRM siasat pengakuan Jeffrey Kitingan terima dana politik

SHAH ALAM – Kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mengakui menerima sumbangan politik tanpa sebarang deklarasi rasmi merupakan satu pendedahan serius dan mencalar prinsip ketelusan serta integriti dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sabah.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, lebih mengejutkan, pengakuan itu datang daripada seorang pemimpin yang selama ini mendakwa memperjuangkan kedaulatan rakyat Sabah menerusi slogan ‘Sabah for Sabahan’.

Justeru menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung sumber dana, identiti pemberi serta sebarang kaitan dengan kelulusan atau keputusan kerajaan negeri.

"Sekiranya terbukti wujud unsur pertukaran kepentingan, maka tindakan undang-undang mesti diambil tanpa kompromi, tanpa mengira kedudukan sama ada menteri, wakil rakyat atau sesiapa sahaja dalam kerajaan.

"Ini kerana tindakan menerima dana tanpa pengisytiharan terbuka menimbulkan keraguan tentang kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang, khususnya di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

"Peruntukan ini memperjelaskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana penjawat awam untuk meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau balasan terhadap sebarang tindakan rasmi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Abdul Aziz, tanpa dokumentasi sah dan proses pengisytiharan yang telus, penerimaan dana sebegini boleh dianggap sebagai satu bentuk sogokan berkepentingan yang menuntut siasatan segera.

"Rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar," ujarnya.

Beliau turut berpendapat, slogan ‘Sabah for Sabahan’ kini semakin kehilangan makna apabila beberapa pemimpin yang turut melaungkan ungkapan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ juga terpalit dengan dakwaan berkaitan urus niaga dan kepentingan ekonomi negeri yang meragukan.