SHAH ALAM - Perjumpaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti berhubung dakwaan pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis telah ditangguhkan.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, beliau menerima mesej penangguhan itu sebaik sahaja menghampiri ibu pejabat parti berkenaan di bangunan Yayasan Selangor di sini.
“Perjumpaan dengan Lembaga Disiplin yang dijadualkan jam 12 tengah hari tadi telah ditangguhkan. Saya dah hampir sampai ke pejabat parti, baru saya terbaca mesej mengenai penangguhan itu.
“Saya memang hendak hadir kerana ingin bertanyakan kepada pihak yang membuat tuduhan tersebut, dari mana mereka mendapat cerita yang dijadikan asas tuduhan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, pihaknya tidak dimaklumkan alasan sebenar penangguhan prosiding itu dan sehingga kini tiada tarikh baharu ditetapkan bagi perjumpaan seterusnya.
“Saya sudah hubungi Setiausaha Lembaga Disiplin untuk meminta dimaklumkan semula sekiranya tarikh baharu ditetapkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.