PRN Sabah: BN terbuka kerjasama dengan parti lain kecuali GRS

PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) mengulangi pendirian bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, kecuali dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan kerjasama itu selaras dengan prinsip BN untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang berpotensi dimenangi, khususnya melalui pakatan dengan rakan-rakan politik seperti Pakatan Harapan (PH) serta pihak lain yang sehaluan.

"BN-PH 'plus' 'plus' 'plus' bermaksud kita bersedia bersama mana-mana pihak yang bersetuju dengan prinsip parti kita bagi mengelakkan pertindihan kawasan yang mempunyai kelebihan dari segi peluang kemenangan.

"Dengan GRS, kita sudah muktamadkan (tidak bekerjasama) kerana mereka yakin mampu menang banyak, jadi mereka tidak memerlukan BN," katanya selepas Majlis Peluncuran Ikondesa di sini pada Rabu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini bagi memberi laluan kepada PRN17.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilaporkan berkata, BN tidak akan meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN, sebaliknya telah mengenal pasti jumlah kerusi yang difikirkan sesuai untuk ditandingi. - Bernama