Pas sokong remaja perempuan bawah umur turut dihukum jika berzina suka sama suka

KOTA BHARU - Pas Kelantan menyokong cadangan supaya undang-undang berkaitan kes rogol bawah umur atau 'statutory rape' dipinda bagi membolehkan remaja perempuan yang terlibat dalam hubungan seks suka sama suka turut dikenakan hukuman.

Ketua Penerangan, Mohd Asri Mat Daud berkata, langkah itu selari dengan prinsip keadilan Islam yang menetapkan zina sebagai jenayah besar dan kedua-dua pihak wajib menerima hukuman.

“Pendedahan Ketua Polis Kelantan bahawa 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku atas dasar suka sama suka menunjukkan ia sebenarnya kes zina.

“Namun undang-undang sekarang hanya menghukum lelaki, sedangkan dari sudut hukum, remaja perempuan yang terlibat juga perlu dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan remaja perempuan bawah umur perlu tetap dilindungi daripada manipulasi dan eksploitasi seksual (sexual grooming) yang boleh mendorong mereka rela melakukan perbuatan itu.

Ujarnya, undang-undang perlu mengambil kira sama ada ia benar-benar suka sama suka atau wujud pengantunan seksual.

Dalam masa sama, Mohd Asri memberitahu, langkah pencegahan gejala zina perlu diperhebatkan melalui kaunseling, nasihat, hukuman takzir dan pendekatan restoratif yang difikirkan sesuai.

“Kerajaan Kelantan melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah pun memperuntukkan kesalahan zina, mukadimah zina, ikhtilat dan khalwat dengan denda minima.

“Selain hukuman, penguat kuasa agama juga perlu konsisten memberi kaunseling dan nasihat sebagai usaha berterusan membendung gejala sosial,” katanya.

Media pada Ahad melaporkan Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Mohd Yusoff cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.