DAP hipokrit, jadikan UMNO musuh kemudian sekutu – Lian Ker

SHAH ALAM–Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan hubungan DAP dengan UMNO sebagai paradoks 'cinta-benci' apabila parti itu dahulu menjadikan UMNO sebagai musuh utama, namun kini sanggup bekerjasama demi kepentingan politik.

Beliau berkata, sebelum berkuasa dengan sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN), DAP melancarkan slogan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang meradikalisasikan penyokong mereka untuk membenci UMNO, MCA dan MIC.

“Malah, penyokong masyarakat Cina yang kekal bersama MCA dilabel sebagai pengkhianat bangsa. Semua ini dilakukan secara tersusun sehingga membakar kebencian terhadap UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, ironinya mana-mana pemimpin UMNO yang keluar atau disingkirkan akan disambut oleh DAP seolah-olah seorang wira, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadikan naratif utama menjatuhkan kuasa UMNO selepas 60 tahun.

“DAP pernah mendewakan Tun Dr Mahathir, walhal sebelum itu mereka melabel beliau sebagai diktator. Inilah wajah hipokrasi politik DAP yang sering terlepas daripada hukuman politik,” jelasnya.

Lian Ker berkata, DAP turut menggunakan tokoh Melayu NGO seperti Ahmad Nor, Zainal Rampak dan Tunku Abdul Aziz hanya sebagai ‘hiasan tingkap’ untuk menutup imej sebenar parti itu yang berpaksikan Deklarasi Setapak.

“Deklarasi Setapak dengan slogan Malaysian Malaysia secara langsung mencabar kedudukan istimewa orang Melayu dalam perlembagaan, tetapi perkara itu cuba disamarkan demi meraih sokongan Melayu,” ujarnya.

Tambahnya, strategi DAP amat berkesan hingga parti itu berjaya menawan 95 peratus undi Cina tanpa perlu bekerja keras dalam memberi khidmat sosial atau mencari penyelesaian politik terhadap isu kaum dan agama.

Selain Dr Mahathir, katanya, tokoh lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga pernah menjadi pilihan DAP apabila keadaan mengizinkan.

“Bahkan, pemimpin Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan Husam Musa juga tidak terkecuali daripada dirangkul DAP apabila sesuai dengan agenda politik mereka,” katanya.

Tegasnya, berbeza dengan MCA yang berdepan tekanan isu Melayu dan Islam, DAP memilih untuk kelihatan akomodatif di hadapan orang Melayu tetapi pada masa sama terus menyemarakkan kebencian terhadap MCA dalam kalangan masyarakat Cina.