IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan Pas supaya Perdana Menteri mestilah berusia bawah 70 tahun sebagai isyarat politik halus menolak pencalonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, walaupun Pas tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan tersebut jelas menyentuh faktor usia bekas Perdana Menteri itu yang kini sudah melepasi 70 tahun.
Menurutnya, cadangan tersebut ditimbulkan ketika Perikatan Nasional (PN) mahu memilih calon perdana menteri jika mereka menjadi kerajaan kelak.
"Cadangan ini datang di tengah-tengah polemik menentukan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN). Jadi saya nampak ia lebih bersifat tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin.
"Bahasa mudahnya, mereka tidak mahu Muhyiddin, cuma tidak sebut secara terang, sebaliknya guna alasan umur," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) Peringkat Parlimen Tambun bersama Persatuan Kanser Nasional Malaysia (NCSM) di Dewan NCSM-Caritas, Kampung Simee di sini pada Rabu.
Muhammad Kamil menjelaskan, syarat utama seseorang pemimpin bukan semata-mata usia, sebaliknya kemampuan untuk bekerja, kecerdasan, kesihatan tubuh badan dan kefahaman terhadap kehendak rakyat.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-71 menegaskan beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.
Beliau menyebut calon sesuai mestilah berusia bawah 70 tahun, sihat serta gagah untuk memimpin negara.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan kenyataannya merujuk kepada dirinya sendiri, bukan pihak lain.
Mengenai perkembangan kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau turut mengesahkan rundingan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih berjalan.
Jelas Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu, semua pihak perlu mencari titik persefahaman demi memastikan kestabilan politik di negeri itu.
"Kita belajar daripada pengalaman lalu bahawa tanpa kestabilan politik, rakyat dan ekonomi negeri akan terjejas.
"Itu asas kita dalam perundingan dan saya yakin dalam tempoh beberapa minggu lagi akan ada perkembangan positif," ujarnya.
Sementara itu, mengulas cadangan DAP agar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan semua Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhammad Kamil berkata perkara itu tertakluk kepada perbincangan di peringkat kepimpinan pusat dan negeri serta perkenan raja-raja Melayu.