SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak pihak berkuasa segera menjawab tindakan berbeza yang diambil terhadap penduduk di Kampung Sungai Baru dan Jinjang Selatan Tambahan.
Ini kerana katanya, rumah yang dibina di atas tanah sendiri di Kampung Sungai Baru dirobohkan, sedangkan premis yang didakwa disewa di Jinjang Selatan Tambahan pula tidak perlu melalui proses sama walaupun diarahkan mahkamah untuk berpindah.
"Kampung Sungai Baru penduduk tuan tanah, sedangkan di Jinjang Selatan Tambahan hanyalah dikatakan 'menyewa' tanah tersebut.
"Kenapa ada dua tindakan yang berbeza daripada pihak penguasa? Seolah-olah ada tindakan dua darjat. Saya desak pihak berkuasa untuk menjawab persoalan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penduduk, peniaga dan pengusaha kilang di kawasan berkenaan yang diarahkan mahkamah untuk berpindah menarik nafas lega apabila tiada tindakan meroboh premis mereka akan dijalankan buat masa ini.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan isu tersebut.
Terdahulu, media melaporkan seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis pengusiran paksa.
Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan Bargathalli berkata, mereka juga kecewa apabila hanya ditawarkan pampasan kira-kira RM5,000.