Pemuda Pas mahu Dr Akmal timbang semula jemputan himpunan tolak URA

SHAH ALAM – Pemuda Pas berharap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dapat mempertimbangkan untuk turut serta dalam Himpunan Mega Tolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) pada Oktober depan di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Pemuda UMNO untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak serta menyediakan penyelesaian kepada kerajaan sebelum penganjuran himpunan.

"Kami mengambil maklum reaksi balas Pemuda UMNO berhubung jemputan berkenaan.

"Untuk makluman pihak UMNO, sebelum ini beberapa siri sidang meja bulat bersama penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu masyarakat sivil (NGI) telah diadakan bagi membincangkan isu RUU URA," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, satu resolusi rasmi juga telah dihantar kepada pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan semua Ahli Parlimen di seluruh negara termasuk pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri KPKT.

"Pemuda Pas juga menzahirkan rasa syukur atas kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang mewakili seluruh Ahli Parlimen UMNO dalam menolak draf RUU URA serta gesaan agar ia disemak dan diperbaiki pada sidang Parlimen yang lalu.

"Bagaimanapun, tatkala beberapa menteri UMNO menzahirkan penolakan secara terbuka dan UMNO giat membincangkan solusi mengenai nasib Melayu bandar, Menteri KPKT, Nga Kor Ming masih bertegas mahu membentangkan bacaan kedua RUU URA pada 6 Oktober nanti," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya telah memuktamadkan penganjuran Himpunan Mega #TolakURA sebagai isyarat jelas kepada Menteri KPKT agar tidak bersikap ‘tone deaf’ terhadap bantahan rakyat.

"Ayuh! Semua parti berteraskan Melayu-Islam, marilah kita bersama memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air tercinta," katanya.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal menasihatkan Pemuda Pas supaya duduk semeja bagi mengumpulkan cadangan dan penyelesaian terbaik mengenai isu RUU URA sebelum mengambil tindakan berhimpun sebagai bantahan.