RUU URA: Pemuda UMNO ajak Pas duduk semeja cari solusi sebelum buat bantahan

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengajak semua pihak termasuk Pemuda Pas untuk duduk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), sebelum mengambil tindakan berhimpun sebagai bantahan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebarang perhimpunan tanpa solusi hanya akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat.

Menurutnya, lebih wajar semua pihak mengadakan perbincangan secara meja bulat dan mengemukakan cadangan konkrit kepada kerajaan.

"Saya nak respons pada satu kenyataan Pemuda Pas ajak UMNO sertai bantahan URA. Pertama UMNO menerusi Timbalan Presiden parti sudah jelas menyatakan kita tidak sokong URA.

"Pendirian UMNO tetap sama kita tolak, namun tidak mahu tolak begitu sahaja tetapi datang dengan satu solusi. Pada 23 September 2025, Barisan Nasional (BN) akan mengadakan forum bertajuk 'Urbanisasi dan URA: Survival Melayu Bandar' di bangunan UMNO.

"Oleh itu saya nak minta sahabat daripada parti Pas sebelum kita nak berhimpun lebih baik datang dengan satu solusi. Saya tidak halang berhimpun malah kalau kerajaan tidak mahu buat juga apa yang dicadangkan barulah kita turun bersama-sama membuat bantahan," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jemputan rasmi daripada Pemuda Pas kepada UMNO untuk menyertai Himpunan Mega Tolak URA yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober di ibu kota.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Mohd Hafez Sabri sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya akan menjadi pemula kepada gerakan membatalkan RUU tersebut yang dikemukakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa sebarang tindakan perlu berteraskan kepentingan rakyat, bukan diri sendiri.

"Jadi saya nak ajak kawan-kawan saya daripada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun parti, kita duduk semeja bincang cara terbaik. Kalau cara kita ini tak diterima baru turun dan kita bantah," ujarnya.