SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan adanya lebih dari satu payung besar dalam kalangan parti-parti Melayu akan menyebabkan berlaku perpecahan dan kekalahan dalam pilihan raya.
Dr Mahathir berkata, walaupun sambutan terhadap cadangan payung besar amat menggalakkan namun setiap pihak mempunyai keinginan untuk menjadi Perdana Menteri dan akan membentuk payung besar mereka.
Menurutnya, oleh itu akan terdapat dua, tiga atau lebih payung besar.
"Orang Melayu pun akan sokong dan jadi anggota payung-payung ini.
"Seperti dengan keanggotaan dalam parti, orang Melayu akan berpecah. Maka payung besar pun memecah belah orang Melayu.
"Sama-samalah kita berfikir. Hendak ada satu sahaja payung besar atau beberapa payung besar, hendak bersatu atau hendak berpecah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Dr Mahathir, sesungguhnya pengundi Melayu mempunyai cukup kawasan untuk menang dan diri kerajaan.
"Tetapi bukanlah niat orang Melayu untuk mendiri Kerajaan 100 peratus Melayu seperti dengan Perikatan dahulu Kerajaan campuran boleh didiri dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain," jelasnya.