Pas masih gagal namakan calon PM – Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Seminggu selepas Muktamar Pas ke-71 berlangsung, parti itu masih gagal menamakan calon Perdana Menteri (PM) meskipun mendakwa mempunyai ramai pemimpin layak bagi jawatan tertinggi negara itu.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, perkara utama yang menjadi perbahasan hangat minggu lalu ialah penolakan Pas secara tersirat terhadap cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM Perikatan Nasional (PN).

“Ucapan perwakilan dan pimpinan utama Pas jelas menentang pencalonan Muhyiddin sekali gus menunjukkan perpecahan ketara dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, perpecahan itu membuktikan PN tidak mampu menjamin kestabilan politik, malah pengalaman terdahulu seperti episod Langkah Sheraton tidak wajar berulang kerana Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil.

Beliau menegaskan, berbeza dengan gabungan Kerajaan Perpaduan yang terus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pentadbiran Kerajaan Madani telah membuktikan kestabilan politik sepanjang tiga tahun lalu.

“Antara pencapaian ekonomi hasil kestabilan politik itu termasuk pengukuhan ringgit lebih 6 peratus berbanding dolar Amerika, pertumbuhan KDNK 4.4 peratus bagi enam bulan pertama 2025, pelaburan diluluskan melonjak 18.7 peratus kepada RM190.3 bilion yang mewujudkan hampir 90,000 pekerjaan baharu, inflasi rendah 1.4 peratus serta kadar pengangguran turun kepada 3 peratus,” ujarnya.

Selain itu, Faiz menambah, ketokohan Anwar di peringkat antarabangsa turut melonjakkan nama Malaysia apabila memainkan peranan penting dalam konflik Thailand-Kemboja serta kekal konsisten membela rakyat Palestin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun ada pemimpin Pas menyebut dua nama sebagai calon PM, ia bukanlah pencalonan rasmi.

“Pas mendakwa mempunyai 3 hingga 4 lori calon, namun sehingga kini tiada seorang pun yang layak. Kenyataan itu memperlekehkan institusi Perdana Menteri.

"Bagi saya, ia hanya menyerlahkan sikap Pas yang berlagak sombong tetapi hakikatnya tin kosong,” ujarnya.

Menurutnya, sikap itu bukan baharu kerana Pas pernah memperjuangkan RUU 355 tetapi membisu ketika menjadi kerajaan, malah negeri ditadbir parti itu turut kehilangan keyakinan pelabur.

Faiz menegaskan hakikatnya Pas tiada calon disepakati sama ada dalam PN mahupun dalam parti itu sendiri.

“Ini menunjukkan Pas tidak memahami kepentingan institusi PM. Jawatan itu adalah ketua kerajaan sebagaimana Rasulullah SAW menjadi pemimpin di Madinah. Tanpa PM, kerajaan tidak boleh dibentuk. Ini jelas termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut menyatakan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai PM sebelum Jemaah Menteri dibentuk.

“Begitulah pentingnya institusi PM. Namun, sikap Pas dalam isu pencalonan PM ini mencerminkan betapa parti itu tidak bertanggungjawab terhadap pentadbiran, sedangkan pentadbiran adalah tunjang sesebuah negara dan aspek penting dalam Islam,” tambahnya.