KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran bagi membincangkan hasrat parti itu untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, penjelasan berhubung perkara tersebut akan diperoleh secara langsung dalam masa terdekat.
“Saya akan tanya dengan beliau (Vigneswaran) sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ensiklopedia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penyerahan Watikah Pelantikan Penterjemah dan Pentasbih Mawsu’ah Ahadith Al-Qiyam pada Sabtu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti politik termasuk MIC dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat bersama PN.
Vigneswaran pada Isnin pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan parti itu menyertai gabungan tersebut, namun menegaskan perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diputuskan.
Beliau menyifatkan pelawaan Tuan Ibrahim ibarat proses ‘merisik’ dan MIC akan meneliti dengan lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.