KOTA BHARU – Pas Kelantan berpendapat parti itu wajar diberi jawatan Perdana Menteri sekiranya menang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Setiausaha Pas negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, walaupun tidak menamakan tokoh tertentu, parti itu telah menggariskan ciri-ciri pemimpin yang layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri.
“Bagi saya, elok kita fokus kepada kerja-kerja kemenangan untuk PRU16 nanti. Bila menang barulah bincang.
“Kalau Pas menang banyak, sudah tentu Perdana Menteri dari kami (Pas),” katanya pada sidang akhbar, Sabtu.
Sebelum itu, beliau hadir pada Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kali Ke-25 di Dewan Johor, di sini, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, tindakan mengumumkan calon Perdana Menteri lebih awal dilihat kurang sesuai.
“Bagi saya elok selepas PRU16. Kalau namakan awal, bila kalah macam mana,” soalnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Bersatu sebulat suara meluluskan usul ucapan dasar presiden sekali gus menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perwakilan turut sepakat mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11 mewakili Bersatu.
Pemuda Pas pula mencadangkan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon utama Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk memimpin negara.
Menurut ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Tuan Ibrahim merupakan tokoh berpengalaman dan antara yang mempunyai keupayaan untuk menerajui negara.
Tindakan itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin kedua-dua parti yang menjalinkan kerjasama melalui PN.