SHAH ALAM – Seorang bekas pemimpin tertinggi Pas menegaskan kegagalan Muafakat Nasional (MN) berpunca daripada hubungan rapat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dilantik sebagai Perdana Menteri Kesepuluh.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, keruntuhan kerjasama politik itu tidak wajar dipalitkan kepada Pas sebagaimana didakwa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui satu sesi audio siar pada Khamis.
“MN runtuh bukan kerana kesilapan Pas, tetapi kerana komplot politik antara Anwar dan Zahid yang akhirnya membawa kepada terbentuknya Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Menurut Zuhdi, Asyraf sejak beberapa hari lalu kembali membangkitkan isu keruntuhan MN dengan menuduh Pas menikam UMNO dari belakang serta menjadi penaja Perikatan Nasional (PN) secara senyap tanpa mematuhi keputusan bersama mesyuarat jawatankuasa induk.
“Jelas sekali, dia cuba meyakinkan khalayak punca-punca keruntuhan MN menurut versi beliau,” katanya.
Namun katanya, faktor sebenar yang meruntuhkan piagam politik Melayu-Islam itu ialah komplot Zahid dan Anwar yang terbongkar melalui surat akuan bersumpah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong serta rakaman audio yang bocor.
"Komplot itu adalah untuk menumbangkan kerajaan bersama Pas, UMNO dan Bersatu.
"Sebenarnya, tindakan seperti ini yang boleh disebut benar-benar menikam rakan daripada belakang," katanya.
Zuhdi yang pernah menyandang jawatan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Air dan Alam Sekitar menegaskan, Pas ketika itu tidak bertindak gopoh dan tidak menyerang UMNO secara terbuka walaupun kecewa dengan tindakan Zahid.
“Setakat ingatan saya, Pas tidak bertindak gopoh apabila Presiden UMNO menikam Pas dan Bersatu dari belakang.
"Wakil-wakil Pas hanya menyentuh perkara ini seperti angin lalu sahaja di dalam mesyuarat,” jelasnya.
Dalam catatan lain, Zuhdi turut memberi gambaran PN kini berada dalam keadaan 'mulai tenat' selepas Pas membentuk beberapa gabungan politik dalam tempoh sedekad lalu.
“Dalam tempoh 10 tahun, Pas telah membentuk tiga gabungan politik – Gagasan Sejahtera, MN dan PN. Dua telah berkubur, satu sudah mulai tenat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa 'chemistry' hubungan Zahid dan Anwar telah lama wujud sejak sebelum era Reformasi 1998 dan kembali mempengaruhi hala tuju UMNO ketika MN masih berjalan.
"Malangnya, keintiman hubungan Presiden UMNO dan Presiden PKR tidak berakhir di situ... politik Malaysia digemparkan apabila terbocornya perbualan telefon antara ‘cikgu’ dan ‘murid’ yang mengatur hala tuju politik UMNO ketika itu," katanya.
Jelasnya, ramai pimpinan serta ahli UMNO mungkin tidak menyedari bahawa hala tuju parti itu akhirnya dipengaruhi hubungan dua tokoh berkenaan sehingga memutuskan masa depan MN.
Zuhdi menutup kenyataannya dengan mendakwa pihak yang paling berharap MN berkubur ialah Pakatan Harapan khususnya PKR, namun aktor sebenar yang menjayakannya datang dari dalam UMNO sendiri.