PN wajar buka ruang tokoh korporat, usahawan berjaya jadi calon pilihan raya

HULU LANGAT - Perikatan Nasional (PN) wajar membuka ruang kepada tokoh korporat dan usahawan berjaya untuk diketengahkan sebagai calon pilihan raya bagi memastikan kualiti kepimpinan yang lebih berdaya saing.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, langkah itu penting kerana calon yang diketengahkan mestilah bukan sahaja berwibawa dari segi politik, malah berupaya menggerakkan jentera dengan sokongan kewangan yang kukuh.

Menurutnya, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan had perbelanjaan pilihan raya maksimum sebanyak RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun jelasnya, peraturan tersebut hanya merangkumi tempoh pilihan raya dan tidak termasuk perbelanjaan pra-pilihan raya seperti program kebajikan, sumbangan atau aktiviti politik.

“Sejak pilihan raya pertama, setiap calon memerlukan bukan sahaja kekuatan jentera tetapi juga keupayaan kewangan yang kukuh.

“Namun kini, pemilihan calon sering dipengaruhi jawatan politik, hubungan peribadi atau nepotisme, sehingga parti terpaksa menanggung sepenuhnya segala persiapan pilihan raya.

“Ada juga calon yang terpaksa menguruskan dana sendiri dengan bergantung kepada sumbangan orang ramai atau tajaan pihak perniagaan dan kontraktor, dengan janji tertentu sekiranya mereka memenangi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Shafiq menegaskan, PN perlu melakukan anjakan budaya politik demi masa depan negara dengan menampilkan calon yang mampu berdikari serta mempunyai latar belakang baik.

“Bagaimana seorang wakil rakyat mampu berkhidmat secara berkesan sekiranya beliau sendiri bergantung sepenuhnya kepada parti tanpa keupayaan berdiri secara mandiri.

“Ahli perniagaan dan tokoh korporat yang berjaya dalam kehidupan serta perniagaan wajar diberi peluang kerana mereka terbukti berpengalaman dan layak membantu masyarakat,” tambahnya.