KOTA KINABALU - Rumah Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Aliakbar Gulasan disimbah cat merah dalam satu kejadian yang dipercayai bermotifkan ugutan.
Kejadian itu hanya disedari sekitar jam 8 pagi Jumaat sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Alamesra, di sini.
Menurut Aliakbar, dalam laporannya sekeping kertas bertulis perkataan ‘DATUK’ menggunakan cat merah bersama seketul batu ditemui anaknya di luar pagar rumah mereka.
“Turut ditemui plastik lut sinar berisi batu dan cat merah hingga cat tersebut terkena dinding rumah saya.
“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah sebagai makluman keselamatan kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada kemudian hari, selain untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis,” katanya.
**media[3279397]**
Ketika ditanya pemberita sama ada beliau mengesyaki pihak tertentu, Aliakbar enggan menuduh sesiapa namun menegaskan jika ia berkaitan politik, tindakan itu tidak wajar.
“Kita tidak meletakkan sebarang tuduhan atau mengaitkan dengan apa-apa isu. Cuma kalau ia berkaitan faktor politik, saya anggap ini politik yang sudah kuno.
“Jangan berulang seumpama ini. Kita meraikan demokrasi dengan aman dan damai. Saya sendiri secara peribadi tidak pernah membawa politik maki hamun atau mencaci orang lain.
“Saya tetap bergerak dalam politik penuh dengan adab dan etika. Saya berharap pihak lain juga, sama ada orang awam atau ahli politik, dapat membawa budaya politik yang baik kerana budaya masyarakat kita adalah lemah lembut.
“Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan, cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam perjalanan kempen,” katanya.