Pemuda Pas Selangor kecam penahanan Ustaz Zaharuddin

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis menahan pendakwah dan aktivis rakyat, Ustaz Zaharuddin Muhammad, di rumahnya sekitar jam 1.30 pagi pada Isnin.

Menurut sayap parti itu, penahanan yang dilakukan pada waktu tengah malam bukan sahaja mengejutkan, malah mencerminkan sikap Kerajaan Madani yang didakwa semakin menekan suara rakyat.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Ustaz Zaharuddin dikenali sebagai pendakwah, ilmuwan dan aktivis yang konsisten membela nasib rakyat, khususnya dalam isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru.

“Tindakan menahan beliau jelas bermotifkan tekanan politik kerana beliau lantang menyuarakan kezaliman yang sedang menimpa masyarakat di kampung tersebut.

"Menangkap seorang pendakwah pada tengah malam kerana membela rakyat adalah satu bentuk intimidasi yang tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hak rakyat mempertahankan rumah dan tanah mereka adalah hak asasi yang seharusnya diberi ruang untuk dibela, bukan ditekan dengan cara kekerasan.

Ujarnya lagi, penahanan itu membuktikan kegagalan kerajaan Madani menunaikan slogan serta janji mereka, malah mendedahkan wajah sebenar sebuah pentadbiran yang tunduk kepada kepentingan pemaju dan golongan berkepentingan.

“Pemuda Pas Selangor menyeru seluruh rakyat, khususnya anak muda, untuk bangkit mempertahankan hak penduduk Kampung Sungai Baru.

*Penahanan ini bukan sekadar isu seorang individu, tetapi lambang penindasan terhadap suara rakyat,” ujarnya.

Mohamed Sukri turut mengingatkan kerajaan bahawa kezaliman tidak akan kekal selamanya, memetik firman ALLAH SWT dalam Surah Ibrahim ayat 42 yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka ALLAH lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim itu.”

Beliau menegaskan, Pemuda Pas Selangor berdiri teguh bersama Ustaz Zaharuddin dan seluruh penduduk Kampung Sungai Baru, sambil menuntut agar beliau dibebaskan segera tanpa syarat.

“Kezaliman tidak akan pernah mampu menewaskan kebenaran. Penahanan ini hanya menambahkan lagi api perjuangan rakyat untuk bangkit menuntut hak dan maruah mereka.

"Pemuda Pas Selangor akan terus berada di barisan hadapan dalam membela rakyat, menegakkan kebenaran dan melawan penindasan,” tambahnya.