Jawatankuasa Bertindak Asia Tenggara dibentuk tangani isu Palestin

JITRA - Sebuah Jawatankuasa Bertindak Asia Tenggara akan dibentuk dalam usaha menyelamatkan Gaza dan rakyat Palestin daripada kezaliman rejim Zionis.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif itu akan menjadi platform penting menyatukan ulama, pemimpin, pembuat dasar, cendekiawan dan aktivis dari seluruh Asia Tenggara bagi menggerakkan suara solidariti serantau dengan lebih berkesan.

Menurutnya, jaringan kukuh itu perlu diwujudkan bagi mengatasi cabaran utama yang dihadapi sekian lama iaitu kurangnya penyelarasan strategik.

“Cabaran utama kita adalah kurangnya penyelarasan yang terarah. Gerakan sedia ada perlu dirangkaikan agar tidak bersifat terpisah.

“Dengan koordinasi tersusun dan platform bertindak bersama yang kukuh, suara Asia Tenggara boleh menjadi lebih lantang, berwibawa dan berimpak tinggi di pentas dunia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Muslim Ummah International Forum (Munif) di Bandar Darulaman di sini pada Ahad.

**media[3273465]**

Tuan Ibrahim berkata, gerakan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) di rantau ini mempunyai kapasiti besar untuk dimanfaatkan, antaranya Muhammadiyah, Nahdatul Ulama (NU), Pas, PKS, PERGAS, Majlis Ugama Islam Brunei, MILF serta NGO berpengaruh seperti Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society, Cakna Palestin, Yayasan Isra’ dan Sahabat Al-Aqsa Indonesia.

“Kemampuan NGO Asia Tenggara menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak dapat dinafikan dan wajar dimanfaatkan, mereka berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan Palestin dengan kesedaran masyarakat. Keupayaan mobilisasi mereka melibatkan jutaan ahli di seluruh rantau ini,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut mencadangkan beberapa tindakan konkrit, antaranya membentuk blok Asia Tenggara Pro-Palestin, menolak normalisasi dan pengiktirafan Israel dalam OIC dan PBB, mengangkat isu Palestin sebagai agenda ASEAN dalam kerangka kemanusiaan sejagat serta menubuhkan ‘Parliamentary Caucus on Palestine’ di setiap negara Asia Tenggara.

“Tindakan yang melibatkan pembuat dasar atau polisi wajar dibawa oleh ahli Parlimen di negara masing-masing. Dengan ini, suara solidariti tidak terhad pada peringkat masyarakat tetapi diterjemahkan kepada dasar negara dan keputusan politik yang mempunyai kesan langsung di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya ahli Parlimen di rantau ini boleh memainkan peranan penting menyemarakkan solidariti rakyat melalui penggubalan usul, perbahasan dasar dan sokongan terhadap inisiatif antarabangsa yang berpihak kepada hak Palestin,” katanya.

Tambah beliau, mekanisme ini akan memastikan isu Palestin terus hidup dalam naratif politik serantau, bukan hanya dalam wacana awam.

Tuan Ibrahim berkata, satu Deklarasi Bersama Asia Tenggara untuk Palestin perlu digubal sebagai dokumen asas, manakala Munif 2025 digesa merangka Pelan Tindakan Asia Tenggara khusus bagi advokasi, kempen dan bantuan kemanusiaan.

“Pelan itu harus merangkumi strategi dalam aspek politik, diplomasi, ekonomi, sosial, pendidikan dan sokongan kepada inisiatif global supaya setiap usaha memberi impak maksimum,” katanya.

Menurutnya lagi, diplomasi awam juga penting bagi menyemarakkan solidariti rakyat merentasi sempadan dengan menganjurkan program bersama seperti Hari Solidariti Palestin Asia Tenggara serta gerakan boikot yang terancang dan bersasar.