Amanah dakwa Pemuda Pas bawa naratif fitnah dalam muktamar

GEORGE TOWN - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang mengecam kenyataan seorang perwakilan Pemuda Pas yang didakwa menyebarkan naratif fitnah kononnya kampung Melayu dijarah dan kandang babi dibina di kawasan majoriti Melayu.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, tuduhan tersebut tidak berasas kerana sehingga kini tiada satu pun bukti sahih dikemukakan pihak berkenaan.

"Jelas sekali Pas dan Perikatan Nasional (PN) sedang memainkan politik perkauman murahan bagi menakut-nakutkan rakyat dan menggugat keharmonian negeri ini.

"Pulau Pinang ialah negeri majmuk yang dibina atas perpaduan serta kerjasama semua kaum. Jika retorik fitnah ini dibiarkan, ia hanya akan menjadi api perpecahan sekali gus mengancam kestabilan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang perwakilan Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa pentadbiran DAP dan Gerakan yang mentadbir negeri itu sebelum ini menjarah kampung-kampung Melayu serta mengusir masyarakat Melayu dan mamak dari Pulau Pinang.

Berucap dalam Muktamar Pemuda Pas pada Jumaat lalu, Saiful Rizwan Mahmud mendakwa kandang babi dibina dengan bebas di kawasan majoriti Melayu, mencetuskan rasa kecewa dan malu dalam kalangan penduduk tempatan.

"Sejarah kita tak dapat ubah. Ketika DAP dan Gerakan memimpin Pulau Pinang, tidak dihamparkan satu karpet merah bagi kampung-kampung Melayu.

"Rakus menjarah kampung-kampung Melayu, mengusir Melayu di Pulau Pinang tidak ketinggalan juga mamak (masyarakat India Muslim).

"Kandang babi bebas dibina, babi bebas diternak di kawasan Melayu, di tengah kampung-kampung Melayu," katanya.

Sementara itu, Abrar yang juga Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas berkata, Pemuda Amanah Pulau Pinang akan terus mempertahankan kepentingan rakyat termasuk orang Melayu melalui dasar inklusif yang membawa manfaat kepada semua kaum.

"Fitnah dan politik kebencian tidak akan kami biarkan berakar. Pulau Pinang mesti terus maju dengan perpaduan, bukannya perpecahan.

"Pas-PN wajib hentikan politik fitnah ini atau rakyat akan menghukum mereka sebagai perosak perpaduan negeri yang kita cintai," tegasnya.