JITRA - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berhubung cadangan memperkenalkan bahasa Tamil dan Mandarin di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai pemikiran kampung dan sempit.
Tegas Tuan Ibrahim, cadangannya sebelum ini agar subjek bahasa Cina dan Tamil itu ditawarkan di sekolah kebangsaan adalah bersifat nasional, bagi memperkukuhkan perpaduan kaum dan mengurangkan sensitiviti perkauman.
“Jika dia mahu cadangkan buat di Pasti, itu tiada makna. Kita mahu ia dalam dasar pendidikan kebangsaan, bukan hanya satu unit. Ini pemikiran kampung. Isu perpaduan kaum tak boleh selesai dengan satu dua unit sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan ‘Muslim Ummah International Forum’ di Bandar Darulaman, di sini pada Ahad.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Lip Eng yang mencadangkan agar Pas terlebih dahulu melaksanakan pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di pusat prasekolah Pas, iaitu Pasti sebelum menyarankan perkara itu diperluaskan ke sekolah kebangsaan.
Sebelum itu, pada Sabtu, Tuan Ibrahim menyarankan agar bahasa Cina dan Tamil diperkenalkan kepada semua murid di sekolah kebangsaan, dengan mengatakan ia mampu memupuk perpaduan nasional serta mengikis rasa curiga antara kaum.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, cadangan ini bukan mandatori, sebaliknya hanya alternatif.
“Cadangan itu berasaskan kepada yang pertama, untuk kukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan supaya rakyat tanpa mengira bangsa dapat menguasainya dengan baik.
“Yang kedua, kita mahu kurangkan isu sensitiviti antara kaum. Kalau pelajar berminat nak kuasai bahasa Cina atau Tamil, mereka boleh ambil di sekolah kebangsaan. Tujuannya untuk kurangkan jurang bila timbul isu bahasa,” katanya.
Tambahnya, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu pertimbangkan cadangan tersebut atau tidak, namun yakin ia dapat menyumbang ke arah integrasi nasional.
“Saya hanya lontarkan idea, tetapi biasa mereka (kerajaan) tak akan timbang. Ketimbang ada lah,” katanya.