SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berdepan ‘penyakit kronik’ yang jika tidak dirawat segera boleh melarat dan memberi kesan buruk kepada parti.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, walaupun parti itu kini mempunyai lebih 90 wakil rakyat, mereka masih berbalah dalam hal mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang berlangsung baru-baru ini.
Menurutnya, keadaan itu amat berbeza jika dibandingkan dengan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), walaupun ketika itu parti masih kecil dan baru bertapak.
“Sebelum PRU14, Tan Sri Muhyiddin sendiri yang bercakap dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketujuh, walaupun ada ahli MPT yang berpandangan bahawa Muhyiddin juga 'PM material' (layak).
“Mereka tidak bercakap menyokong Tan Sri Muhyiddin kerana takut Tun terasa hati. Mereka juga tidak bercakap menyokong Tun kerana takut Tan Sri Muhyiddin pula terasa hati.
“Akhirnya, Tan Sri Muhyiddin sendiri yang bercakap menyokong Tun dan MPT membuat keputusan mencalonkan Tun sebagai Perdana Menteri ketujuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Marzuki menambah, suasana politik ketika itu turut menyaksikan Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana para perwakilan mengangkat plakad menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sedangkan Anwar masih berada dalam penjara.
“Tun tidak angkat plakad tetapi pegang telefon bimbit dan merakam gambar mereka yang mengangkat plakad,” jelasnya.
Marzuki berkata, beliau sendiri pernah bertemu dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, yang menegaskan bahawa parti itu tetap mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh kerana ia adalah dasar DAP.
Namun katanya, apabila isu pencalonan itu dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin sekali lagi tampil mempertahankan keputusan MPT Bersatu untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
“Hasil beberapa siri rundingan, PH akhirnya sepakat mencalonkan Tun sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“PH memenangi PRU14 dan Tun kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. Pada ketika itu, saya tidak dengar seorang pun ahli Bersatu yang mengatakan keputusan MPT mencalonkan Tun adalah salah,” ujar beliau.
Menurut Marzuki, walaupun ketika itu Bersatu hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen iaitu Muhyiddin serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Dr Shahrudin Salleh, namun semua ahli Bersatu tetap teguh mempertahankan keputusan parti.
“Sekarang Bersatu mempunyai lebih 90 wakil rakyat tetapi berbalah dalam hal mempertahankan keputusan PAT.
“Ada penyakit kronik yang sedang melanda Bersatu. Penyakit ini mungkin kena pada seorang dua sahaja, tetapi kalau tidak dicari ubat, nanti melarat,” katanya.