JITRA - Pas perlu melihat terlebih dahulu jumlah kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebelum menuntut jawatan Perdana Menteri.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu belum memikirkan soal jawatan Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan, sebaliknya mahu memberi tumpuan bagi memastikan kemenangan terlebih dahulu.
“Kadang-kadang kita nak bagi, tapi kena teliti dulu bilangan kerusi Parlimen yang kita menang. Macam orang ternak kambing, kambing pun belum ada lagi, jangan sibuk kira untung dulu,” katanya selepas merasmikan Muslim Ummah International Forum di Bandar Darulaman pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah tiba masanya Pas diberi peluang menduduki jawatan Perdana Menteri, selepas jawatan itu pernah disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika PN mentadbir negara.
Tuan Ibrahim berkata, Pas mempunyai ramai tokoh berwibawa untuk diketengahkan, sama ada sebagai anggota Kabinet mahupun menteri, malah kepimpinan dalam PN juga tidak kekurangan calon berkualiti.
“Jadi kita tidak ada masalah tentang kepimpinan untuk menerajui negara.
“Yang penting kita garapkan kekuatan, hadapi pilihan raya, bina kekuatan jentera dan capai matlamat kita. Mandat rakyat yang diberi akan kita isi sebaik mungkin,” katanya.
Mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berhubung sasaran untuk memenangi 80 kerusi Parlimen pada PRU16, Tuan Ibrahim menjelaskan ia adalah dalam konteks PN, bukannya Pas semata-mata.
“Keyakinan itu bergantung kepada kekuatan muafakat politik dalam PN. Kekuatan politik ini bukan hanya Pas, bukan hanya Bersatu, tetapi gabungan dalam PN perlu bekerja keras untuk capai matlamat itu.
“Sasaran 80 kerusi itu adalah dalam konteks PN, bermakna kita perlu perkukuhkan pengaruh PN di beberapa buah negeri,” katanya.
Tuan Ibrahim menegaskan, keretakan dalam BN juga boleh menjadi potensi untuk digarap PN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya, bukan hanya bersandarkan kepada jumlah kerusi semata-mata sebagai penentu kejayaan.
“Kita juga lihat ada rakan-rakan dalam UMNO yang tidak selesa dengan kerajaan, khususnya tindakan agresif DAP. Perkara itu turut dizahirkan secara terbuka, termasuk oleh MCA dan MIC yang sering menentang kenyataan DAP di Parlimen.
“Mereka sendiri merasakan seolah-olah bukan bersama kerajaan sebab tidak pernah dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan. Sebab itu mereka anggap gagasan itu hanya UMNO dengan PH, bukan MCA dan MIC,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun strategi terperinci tidak boleh didedahkan, beberapa indikator tersebut menjadi sandaran untuk memenangi kerusi tambahan, selain kerjasama erat sesama komponen parti serta potensi sokongan daripada parti lain yang semakin tidak selesa bersama kerajaan.