ISU dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali hangat ekoran tuduhan terhadap Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin terbabit dalam gerakan mengumpul Akuan Bersumpah (SD) lebih 120 ketua bahagian mendesak perubahan kepimpinan.
Ada menuduhnya sebagai ‘si kitol’ yang menikam belakang Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, baru-baru ini.
Namun, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang enggan dinamakan mendedahkan tuduhan terhadap Hamzah sengaja dicipta untuk melemahkan pengaruhnya.
Jelas sumber berkenaan, isu SD bukanlah rancangan Hamzah, sebaliknya berpunca akibat ketidakpuasan hati akar umbi terhadap seorang pemimpin kanan Bersatu didakwa mempunyai kuasa terlalu besar dalam pentadbiran parti.
“Hakikatnya Hamzah tahu pasal SD, tapi beliau bukan mastermind. Malah, beliau sendiri pernah menyatakan tidak mahu terlibat dalam sebarang gerakan,” katanya.
Sumber itu menambah, pemimpin kanan tersebut dikatakan tidak adil dalam menguruskan penubuhan cawangan dan bahagian baharu sehingga menjejaskan persidangan perwakilan.
Namun, bekas ahli Parlimen itu mendedahkan Hamzah yang sering dipersalahkan.
“Naratif kononnya Hamzah tikam belakang Presiden ini sengaja dicipta untuk rosakkan reputasi beliau,” jelasnya.
Isu SD juga dilihat sebagai refleksi pertembungan antara dua kem dalam Bersatu untuk mengukuhkan pengaruh masing‑masing menjelang PRU16.
“Pertembungan ini tertumpu kepada perebutan peranan sebagai pengarah pilihan raya.
“Walaupun Bersatu bersetuju menjadikan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, pemimpin kanan ini difahamkan juga mempunyai cita-cita sama dengan cuba mengambil alih peranan Hamzah selaku pengarah pilihan raya Bersatu secara halus,” tambahnya.
Menurut sumber lagi, Hamzah lebih diiktiraf akar umbi, pucuk pimpinan dan juga Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
“Tidak hairanlah ada pihak yang cuba mengikis pengaruh beliau dengan melabelnya ‘si kitol’,” ujarnya.
Katanya, walaupun berdepan tekanan, Hamzah masih disokong kuat sebahagian besar pemimpin dan perwakilan Bersatu, sebagaimana dibuktikan melalui sambutan gemuruh terhadap ucapannya di PAT, baru- baru ini.
**media[3270450]**
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Pimpinan Negeri Selangor, Mohd Rafiq Abdullah menegaskan, isu SD tidak wajar diperbesarkan kerana PAT mengesahkan Muhyiddin sebagai pemimpin.
Beliau menjelaskan, isu SD sebenarnya adalah desakan untuk Muhyiddin memberi lebih ruang kepada Hamzah menggalas peranan lebih besar dalam Bersatu tetapi bukan menjatuhkannya.
Mohd Rafiq juga menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan tertentu dalam parti yang sengaja tidak menyertakan gambar beberapa pemimpin utama dalam kain rentang PAT.
“Hal-hal sebegini boleh dibincangkan secara matang. Tidak perlu menampakkan perpecahan.
“Sebarang pergeseran perlu diselesaikan secara dalaman demi menjaga perpaduan dan masa depan parti,” katanya.