Pemuda Pas mahu satu pertiga calon muda diketengahkan di PRN Sabah

ALOR SETAR – Pemuda Pas menuntut sekurang-kurangnya satu pertiga calon muda ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai simbol keyakinan terhadap kepimpinan anak muda.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kehadiran golongan itu bukan sekadar memanaskan pentas pilihan raya,  sebaliknya medan tarbiyah politik bagi melahirkan pemimpin masa depan.

"Anak muda Sabah mesti diberi ruang untuk berani memimpin kerana di bahu mereka terletak masa depan negeri itu. Kita tidak mahu Sabah terus menjadi wilayah pinggiran. Kita mahu Sabah menjadi teras kekuatan perubahan.

"Kita mahu rakyat Sabah melihat Pemuda Pas sebagai sahabat mereka, pembela mereka dan suara mereka. Jika kita berjaya menawan hati orang Sabah, kita sedang membuka lembaran baharu politik Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Ketua Pemuda Pas sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini pada Jumaat.

Hadir sama merasmikan majlis, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Afnan Hamimi, PRN Sabah bukan gelanggang tambahan yang boleh dipandang ringan, sebaliknya medan strategik yang mampu menentukan hala tuju politik negara.

"Sabah bukan hanya sebuah negeri, tetapi medan ujian sama ada politik Islam mampu diterjemahkan dalam konteks Borneo.

"Pemuda PAS melihat Sabah bukan sebagai kerusi tambahan tetapi sebagai amanah besar membela marhaen di Borneo. Kehadiran calon-calon muda PAS di Sabah adalah tanda bahawa kita mahu membina politik baharu, iaitu politik yang bersih, politik solusi dan politik rakyat," katanya.