ALOR SETAR - Tumpuan utama Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah meningkatkan gerak kerja bagi memastikan kemenangan, berbanding membincangkan soal calon Perdana Menteri.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang keputusan besar termasuk berkaitan calon Perdana Menteri hanya akan diputuskan menerusi mesyuarat tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, apa-apa keputusan penting khususnya yang melibatkan dasar akan dibawa dalam mesyuarat PN atau Majlis Presiden.
“Dalam Pas, ramai tokoh berwibawa yang boleh diketengahkan, tetapi bagi kami yang lebih penting adalah menang pilihan raya dahulu. Calon Perdana Menteri ini akan diputuskan dalam mesyuarat PN,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-66 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meluluskan usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Tuan Ibrahim menegaskan perkara itu adalah hak setiap parti.
“Itu hak parti masing-masing dan kita menghormati hak itu. Bagi saya, yang penting sekarang ialah memperkukuh gerak kerja pilihan raya,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Pas membawa usul mencalonkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri dalam muktamar parti itu, Tuan Ibrahim menjelaskan setakat ini tiada usul seumpama itu diterima.
“Biasanya usul dihantar awal untuk dibincang dalam jawatankuasa usul sebelum dibawa ke Muktamar.
“Kita ada mesyuarat terakhir pada Ahad ini untuk kita tengok semua usul. Sepanjang maklumat saya, tidak ada usul tersebut sehingga setakat ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud usul tergempar berkaitan isu tersebut pada saat akhir.