SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu memberi peringatan bahawa trend tunjuk perasaan secara melampau boleh menjadi ancaman besar kepada negara sekiranya tidak dikawal dari awal.
Menurut beliau, jika perhimpunan bertukar menjadi rusuhan hingga mencetuskan kecederaan kepada orang awam atau pihak berkuasa, ia tidak mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak.
"Kalau jadi rusuhan, kalau tumpah darah sesama rakyat atau dengan anggota keselamatan, apa untungnya? Tak ada siapa yang dapat faedah.
"Negara pula yang rugi. Saya orang lama dalam hal demonstrasi ini dan cakap terus terang, kalau tak dikawal dari awal, benda ini boleh jadi bahaya besar kepada negara.
"Kita turun ke jalan bukan untuk pukul orang, bukan untuk lawan polis, tapi untuk sampaikan suara, teguran, pandangan. Itu saja," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Ujar Mohamad, beliau sendiri sebelum ini pernah ditahan beberapa kali namun tidak pernah menganggap polis sebagai musuh yang menghalang suara mereka.
"Mereka buat kerja mereka, kita buat kerja kita. Sampai sekarang pun hubungan saya dengan polis baik, kita hormat mereka sebab mereka hanya menjalankan tugas.
"Sebab itu, saya selalu pesan, jangan usik harta orang, jangan baling batu, jangan rosakkan apa-apa. Kalau boleh, pasu bunga pun jangan terbalik. Kalau kita rasa ada perkara tidak kena, kita lawan di mahkamah," ujarnya.
Menurut Mohamad yang sebelum ini pernah menggerakkan himpunan aman sewaktu menjadi pembangkang, beliau sering mengingatkan peserta supaya tidak bertindak melampaui batas.
"Saya ini dari dulu lagi, biasa menggerakkan dan menjadi komandan perhimpunan Bersih 1, 2, 3 dan seterusnya sampai Bersih 4 dan 5.
"Pesanan saya kepada petugas dan peserta tetap sama. Kita turun bukan hendak tunjuk kekuatan, tetapi hendak tunjuk perasaan," menurutnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di muka semasa menyuraikan sekumpulan penduduk yang cuba memasuki kawasan operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru mencetuskan kontroversi apabila sebahagian penduduk, khususnya penghuni rumah teres, menolak kadar pampasan RM400 bagi setiap kaki persegi seperti ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Proses pengambilan tanah bagi pembangunan semula kawasan itu bermula sejak 2016 dan membabitkan 67 unit rumah teres serta 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru.