SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mengenal pasti dalang di sebalik gerakan Akuan Bersumpah (SD) yang didakwa cuba menyingkirkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham mendedahkan, tindakan beberapa individu tidak beretika itu melanggar keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang sebelum ini sebulat suara menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Isu SD sepatutnya tidak timbul lagi kerana mereka telah gagal. Jangan ulangi kebodohan dengan dakwaan kononnya ada 120 Ketua Bahagian Bersatu tandatangan SD, sedangkan hanya beberapa saja yang tandatangan.
“Itu pun kerana tertipu dengan cerita rekaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, seorang sumber yang juga ahli MPT Bersatu mendakwa isu berkenaan hanya ‘diredakan’ bagi memastikan PAT Bersatu berjalan lancar dan berakhir dengan tenang seperti diminta Muhyiddin.
Sumber tersebut turut mendakwa, seorang ahli MPT akan membawa SD tersebut kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam satu pertemuan.
Dalam pada itu Muhammad Hilman menepis dakwaan tersebut dengan menegaskan, isu berkenaan sememangnya tidak berbangkit semasa PAT.
Ini kerana ujarnya, semua perwakilan menyatakan sokongan dan sebulat suara mendukung Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri mewakili Bersatu untuk diangkat ke Majlis Presiden PN.
“Boleh dilihat ketika PAT, semua angkat tangan untuk menunjukkan sokongan kepada Tan Sri dan saya yakin, dua MPT yang dikatakan sumber itu juga berbuat perkara sama,” katanya.
Mengulas mesyuarat MPT khas baru-baru ini, Muhammad Hilman menjelaskan tumpuan utama adalah memperincikan kuasa Pengerusi Tetap berdasarkan Perlembagaan dan Peraturan Parti untuk menangani segelintir perwakilan yang bertindak biadab semasa persidangan.
Menurutnya, parti juga akan mengenakan tindakan disiplin terhadap dua sumber itu kerana tidak patuh keputusan PAT untuk kekalkan Muhyiddin sebagai Presiden hingga pilihan raya akan datang.
“Kita tidak perlu sebut nama sumber itu, tetapi saya yakin semua orang dalam MPT termasuk presiden tahu siapa orangnya.
“Mereka (sumber) sahaja yang ingat orang tidak tahu siapa mereka sedangkan semua orang tahu dan saya yakin parti akan ambil tindakan ke atas mereka,” ujarnya.