KUALA LUMPUR – Sebarang isu dalam Barisan Nasional (BN) mesti diselesaikan secara perbincangan kerana gabungan itu saling memerlukan antara satu sama lain.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tiada gunanya BN berpecah ketika ahli dan rakyat mahukan sebuah parti yang stabil untuk mewakili mereka.
“Kalau boleh duduk berbincang, itu yang terbaik. Realitinya kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tiada maknanya kita berpecah ketika ahli dan rakyat sebenar mahu parti yang stabil mewakili mereka.
“Perpecahan boleh menyebabkan BN tidak diyakini dan itulah yang berlaku pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15} apabila BN menawarkan ‘kestabilan’ sedangkan rakyat melihat kita berpecah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, ketika kerajaan kini mahu dikukuhkan, BN juga tidak boleh berdepan dengan konflik dalaman kerana ia hanya akan melemahkan gabungan itu.
Katanya, adalah salah dan tidak tepat jika menilai kekuatan atau sumbangan mana-mana parti dalam BN termasuk MCA dan MIC hanya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.
“Faktanya undi mereka berada di mana-mana. Biarpun di sesetengah tempat jumlahnya kecil, ia tetap penting kerana dalam politik satu undi pun mustahak,” jelasnya.
Dr Shamsul turut mengingatkan pengalaman lalu apabila BN gagal membentuk kerajaan di Kelantan hanya kerana kekurangan dua undi dan peristiwa itu mesti menjadi pengajaran lebih-lebih lagi dengan landskap politik semasa yang begitu dinamik.
Beliau berkata, sebagai parti tunjang, UMNO sangat menghormati serta menjaga rakan komponennya demi kekuatan BN dan UMNO itu sendiri.
“Saya sayangkan UMNO dan kerana itu saya percaya UMNO sangat menghormati dan menjaga rakan komponen yang lain demi kekuatan BN dan UMNO itu sendiri.
“Cukuplah kita hilang rakan komponen selepas PRU14, dan jangan BN hilang lagi rakan komponen,” ujarnya.
Dalam situasi politik sekarang, tegasnya, BN perlu membina kekuatan dan bukan menambah kelemahan.
“BN parti politik yang telah begitu lama di negara ini, berpengalaman dan sudah melalui pelbagai ujian. BN bukan sebuah gabungan parti politik yang baharu,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak mengelakkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan, merenggangkan keakraban serta menafikan persefahaman yang telah terjalin sejak dahulu.
“Siapapun, tidak kiralah daripada parti mana sekali pun, elakkanlah membuat kenyataan yang boleh merenggangkan keakraban, saling hormat menghormati serta persefahaman yang telah dibina sejak zaman dulu lagi,” tegasnya.
Beliau juga yakin kepimpinan BN mempunyai kebijaksanaan untuk menangani sebarang isu dengan bijak.
“Saya berkeyakinan YAB Pengerusi BN punyai kebijaksanaan bagi menyelesaikannya. Percayalah, apa juga perkara boleh diselesaikan jika kita duduk bersama dan berbincang,” katanya.