SHAH ALAM - Pencalonan semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri (PM) menunjukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih bergantung kepada pengaruh serta ketokohan beliau untuk menarik sokongan rakyat.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, kredibiliti Muhyiddin masih menjadi sandaran utama, khususnya dalam kalangan pengundi tradisi dan akar umbi Perikatan Nasional (PN).
“Dalam Bersatu, setakat ini belum ada tokoh yang mampu menyaingi ketokohan beliau.
“Jika adapun ialah timbalannya, tetapi pengalaman Muhyiddin termasuk pernah memimpin negara semasa krisis Covid-19 dan mempunyai jaringan antarabangsa, meletakkannya jauh di hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Bersatu sebulat suara meluluskan usul ucapan dasar presiden sekali gus menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai presiden parti selain sepakat mencalonkannya sebagai Perdana Menteri ke-11 mewakili Bersatu.
Dalam pada itu, Mohd Azhar yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keadaan itu turut memperlihatkan bahawa Bersatu masih belum mempunyai pelapis setara yang boleh diketengahkan sebagai calon utama untuk memimpin parti dan PN.
**media[3266533]**
Mengulas kedudukan Muhyiddin dalam landskap politik semasa, Mohd Azhar menegaskan beliau masih mempunyai tahap kebolehmenangan atau winnability tinggi sekali gus menjadi harapan yang disandarkan penyokong PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Bagaimanapun, cabaran Muhyiddin untuk menyaingi calon Perdana Menteri daripada kerajaan semakin besar kerana kajian terkini Merdeka Center Jun 2025 menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kadar kelulusan 55 peratus daripada pengundi berdaftar sekali gus menunjukkan sokongan terhadapnya semakin meningkat.
“Justeru, jika lawannya dalam PRU16 ialah Anwar Ibrahim tentunya laluannya tidak mudah. Muhyiddin perlu perlu bekerja lebih keras dan mula membuat persiapan dari sekarang sekiranya mahu kekal relevan dalam politik negara,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin pula berpandangan menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi mungkin memberi nafas lega sementara kepada Bersatu.
**media[3266532]**
“Tetapi dalam landskap politik semasa yang semakin kompetitif, bergantung kepada ‘jenama Muhyiddin’ sahaja tidak cukup.
“Jika PN mahu benar-benar menyaingi Kerajaan Perpaduan, mereka memerlukan strategi lebih inklusif, kepimpinan lebih segar dan naratif baharu yang mampu meyakinkan rakyat bahawa perubahan yang ditawarkan bukan sekadar mengitar semula wajah lama,” katanya.
Katanya, soal winnability pula, di atas kertas, Muhyiddin masih mempunyai peluang yang mana kajian pendapat oleh Institut MASA baru-baru ini menunjukkan beliau kekal sebagai tokoh paling popular dalam blok pembangkang, mengatasi nama-nama lain dalam PN.
“Populariti ini memberi sedikit jaminan bahawa beliau masih mempunyai sokongan di lapangan, khususnya di kawasan majoriti Melayu. Namun, populariti sahaja tidak menjamin kemenangan.
“Faktor usia, isu mahkamah serta legasi pentadbiran semasa pandemik sering dijadikan peluru oleh lawan politik,” katanya.