'Umum Muhyiddin sebagai PM, Bersatu usah jual mimpi lama' - UMNO Kelantan

KOTA BHARU - UMNO Kelantan menyifatkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 sebagai langkah terdesak dan retorik politik usang yang tidak lagi laku di mata rakyat.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata, usaha itu seolah-olah menjual semula 'produk lama' yang telah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sudah-sudahlah jual mimpi lama. Muhyiddin sudah diberi peluang memimpin negara sebelum ini, dan apa yang kita dapat? Politik tidak stabil, pelabur lari, ekonomi tersekat. Rakyat tidak lupa episod itu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, pengumuman tersebut memberi isyarat jelas bahawa Bersatu ketandusan kepimpinan serta hala tuju sebenar dalam membela rakyat.

Ujarnya, pada masa sama ia turut di lihat sebagai cubaan untuk mengalih perhatian daripada pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) serta kelemahan pentadbiran negeri-negeri yang dipimpin gabungan itu.

"Daripada sibuk umum siapa nak jadi PM, lebih baik mereka fokus selesaikan masalah rakyat di negeri yang mereka perintah.

"Lihat saja di Kelantan, air kotor, peluang kerja tiada, infrastruktur lemah tapi masih sibuk berpolitik," tegasnya.

Noor Hariri memberitahu, UMNO akan terus berjuang dengan pendekatan realistik dan berpaksikan agenda pembangunan, bukannya menjual wajah lama sebagai penyelesaian kepada masalah baharu.

"UMNO tidak akan terjerat dalam permainan lama ini. Rakyat perlukan penyelesaian, bukan slogan basi dan pelakon ulangan. Cukuplah sandiwara," katanya.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berakhir pada Ahad meluluskan usul menamakan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu.