Gabungan longgar strategi PN tarik sokongan pelbagai kaum

SHAH ALAM – Pembentukan gabungan longgar oleh Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai strategi terkini memperkukuh kedudukan blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menepis persepsi gabungan itu hanya wakili kaum Melayu-Islam semata-mata.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazla Alin berpandangan, langkah tersebut merupakan usaha membuka ruang kepada parti bukan Melayu yang sebelum ini dilihat sukar untuk mendekati PN berikutan dominasi imej yang dibawa oleh gabungan itu.

“Sekiranya naratif Melayu-Islam berterusan, ia akan menimbulkan tanggapan bahawa jika PN menang pada pilihan raya umum nanti, hanya akan ada satu pemerintahan berasaskan Melayu sahaja.

“Sebab itu usaha mewujudkan pakatan longgar sebenarnya satu strategi untuk menunjukkan gabungan itu mampu membentuk kerjasama pelbagai kaum, alternatif kepada kerajaan Madani,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor memaklumkan pakatan itu menyasarkan pembentukan sebuah pakatan politik gabungan longgar melibatkan parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU16.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan, usaha ke arah itu juga kini menunjukkan perkembangan positif.

Sementara itu mengulas mengenai dakwaan 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menggesa Presiden berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Dr Mazlan menyifatkan situasi itu sebagai sebahagian daripada proses pendewasaan dalam parti.