Ridhuan Tee bidas pemimpin PN bertelagah isu calon PM

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah membidas sikap segelintir pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang didakwanya terlalu ghairah berebut jawatan Perdana Menteri sedangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) belum berlangsung lagi.

Beliau menegaskan, tumpuan sebenar Perikatan Nasional (PN) sepatutnya adalah usaha menyelamatkan negara serta menjaga kepentingan rakyat, bukannya sibuk menonjolkan tokoh tertentu sebagai calon Perdana Menteri.

**media[3267005]**

Selain itu, beliau turut menasihati Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar berjiwa besar untuk 'berehat' daripada terus dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

Tambah Mohd Ridhuan, hal ini memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selain kes mahkamah yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu.

"Berhentilah berebut jadi Perdana Menteri. Ramai dalam Bersatu dan Pas yang berwibawa, tetapi tidak perlu menonjolkan seorang sahaja seolah-olah orang lain tidak layak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya agenda siapa jadi PM tidak terlalu difokuskan mana-mana parti termasuk Bersatu jika PN berjaya memerintah.

Berikutan itu, Ridhuan Tee turut mempersoalkan pendirian Bersatu yang didakwanya masih dibayangi DNA UMNO apabila terlalu ghairah mengejar jawatan, sedangkan beliau berpandangan Bersatu tidak akan mampu bertahan dalam gelanggang politik tanpa jentera Pas.

“Ini belum menang lagi, sudah bercakap soal jawatan. Bersatu mahu apa sebenarnya? Jika cara berfikir seperti ini diteruskan, jangan mimpi hendak memimpin kerajaan,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan perkara lebih utama ketika ini adalah kestabilan negara serta memperkukuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, bukannya menyalin gaya politik tamak kuasa yang hanya akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan.