Kekecohan PAT Bersatu mungkin digerakkan musuh politik - Sri Sanjeevan

SHAH ALAM - Kekecohan yang tercetus semasa ucapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkin berpunca daripada tindakan pihak luar yang berniat mencetuskan provokasi.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R. Sri Sanjeevan berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk kemungkinan insiden itu dirancang oleh pihak yang tidak berkepentingan dalam Bersatu.

“Hanya kerana insiden itu terjadi ketika Tan Sri (Muhyiddin) berucap, tidak semestinya tindakan itu dilakukan oleh kami (ahli Bersatu).

“Ada kemungkinan insiden itu dirancang pihak luar atau parti musuh kerana semua orang dibenarkan masuk tanpa mengambil kira sama ada perwakilan, pemerhati atau orang luar.

“Kejadian itu masih disiasat untuk mengenal pasti punca serta individu yang terlibat berdasarkan bukti video dan rakaman gambar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di PAT Bersatu 2025, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan PAT Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar pada malam Sabtu.

Kekecohan tercetus di bahagian tengah dewan, dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan konspirasi mengutip tandatangan untuk menjatuhkan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu, Sri Sanjeevan menolak kemungkinan wujudnya gerakan tersebut.

“Mungkin ada segelintir kecil yang tidak puas hati disebabkan agenda peribadi, tetapi majoriti besar tiada masalah.

“Malah semua perwakilan yang hadir memberi sokongan kepada Tan Sri dan tiada isu besar yang menunjukkan berlaku perpecahan dalaman.

“Sekiranya ada kritikan, ia harus dibuat secara bertanggungjawab dan profesional, bukan mencetuskan kekecohan,” ujarnya.

Dalam ucapan dasar pada Sabtu, Muhyiddin mengingatkan bahawa tindakan menjatuhkannya sebagai Presiden Bersatu adalah bercanggah dengan Perlembagaan parti berkenaan.

Malah, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan nasib sama juga boleh menimpa mana-mana pemimpin lain dalam parti sekiranya tindakan sedemikian dilakukan terhadap presiden.