Amanah tolak politik identiti sempit, eksploitasi agama - Dr Dzulkefly

IPOH - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa politik identiti sempit berasaskan kaum dan agama tidak boleh dibiarkan kembali mewarnai landskap politik negara.

Beliau berkata, politik kebencian yang mengeksploitasi perbezaan identiti hanya akan meruntuhkan perpaduan rakyat, khususnya ketika pemimpin berusaha membina kerjasama erat dalam kerangka Kerajaan Perpaduan di semua peringkat.

“Kita perlu dengan tegas membanteras politik identiti, iaitu politik yang merendah-rendahkan orang lain hanya kerana perbezaan identiti – sama ada berasaskan agama, kaum mahupun etnik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.

Dr Dzulkefly, yang juga Menteri Kesihatan menambah bahawa politik identiti sempit yang dieksploitasi semata-mata untuk meraih kuasa adalah satu bentuk racun yang hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat.

“Perak tidak boleh sekali-kali kembali kepada politik perpecahan ini. Malaysia juga tidak boleh. Kita hanya akan maju jika kita bersatu, menghargai kepelbagaian dan menjadikan perbezaan sebagai kekuatan,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama erat yang diamalkan di Perak membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan mampu berfungsi dengan baik, termasuk dengan penyertaan wakil Amanah dalam pentadbiran negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Seorang Exco kerajaan negeri dan beberapa pegawai khas termasuk Datuk Asmuni di DUN Manjoi, selain di Titi Serong, Kamunting dan Pasir Panjang, menunjukkan gandingan yang sangat baik,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, beliau memaklumkan bahawa rundingan kerusi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berlangsung secara harmoni.

“Kita mengharapkan akan ada kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah supaya dapat melahirkan kerusi sulung di Sabah pada PRN nanti,” katanya.