PRN Sabah: Amanah mohon tanding lima kerusi

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) memohon untuk bertanding di lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah.

Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, permohonan itu telah dikemukakan melalui perbincangan bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH) selain rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Buat masa ini Amanah memohon lima kerusi, namun jumlah muktamad hanya akan diputuskan selepas rundingan terakhir bersama rakan-rakan dalam PH, BN dan juga GRS,” katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Amanah Selangor di The Midlands Convention Centre, Seksyen 7, di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan, Amanah akan menggerakkan jentera parti sepenuhnya untuk memastikan kemenangan calon-calon kerajaan perpaduan di Sabah sama ada kerusi ditandingi parti itu atau rakan gabungan.

“Amanah tetap komited kepada perjuangan dalam kerangka Pakatan Harapan. Kalau mana-mana parti dalam PH yang bertanding, jentera Amanah akan digerakkan di kawasan berkenaan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Adly menegaskan pemilihan calon adalah berdasarkan faktor ‘winnable candidate’ yang bukan sahaja diterima akar umbi, malah diyakini rakyat.

“Dalam konteks Sabah, kita pastikan calon yang diketengahkan adalah anak tempatan kerana itu menjadi keutamaan kami,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui masih wujud sedikit pertembungan senarai calon antara Amanah dan parti komponen PH, namun yakin ia dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir dimuktamad.

“Apa yang penting, kita mahu mengurangkan pertembungan kerana perpaduan dan masa depan Sabah jauh lebih utama,” jelas beliau.

Pada 17 Mei lalu, Amanah menyasarkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada PRN Sabah.

Pengarah Pilihan Raya Nasional Amanah, Mohd. Sani Hamzan berkata empat kerusi terbabit ialah Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan, masing-masing dalam Parlimen Putatan, Sepanggar, Sipitang dan Semporna.