IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mahu memastikan mereka terus memperoleh kerusi boleh menang (winnable seat) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, langkah tersebut merupakan strategi jangka panjang bagi mengukuhkan pengaruh parti, sekali gus mengelak pertembungan sesama rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
**media[3264712]**
Menurutnya, Amanah bukan sekadar pelengkap angka dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mahu dilihat sebagai kuasa Islam progresif yang diyakini rakyat.
“Pengagihan kerusi PRU16 yang bakal menjadi isu getir perlu diselesaikan dengan mengambil kira kekuatan setiap parti, kawasan tradisi serta kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
“Dalam rundingan kerusi nanti, kita mesti menuntut kerusi yang realistik dengan kekuatan kita, iaitu kawasan yang rakyat sudah kenal wajah, jasa dan perjuangan Amanah.
“Pada masa sama, kita perlu mengelak pertindihan kerana rakyat tidak mahu melihat kita bertelagah sesama rakan gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Amanah Negeri Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Ahad.
Konvensyen bertemakan ‘Menang Bersama’ itu dirasmikan oleh Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Asmuni berkata, kemenangan Amanah akan menjadi tapak kukuh untuk membina masa depan yang lebih besar dalam PRU seterusnya.
“Menang bersama bukan soal menang sendirian atau untuk parti sahaja, tetapi menang untuk PH, menang untuk Kerajaan Perpaduan dan paling penting, menang untuk rakyat Perak,” ujarnya.
Beliau mengingatkan bahawa lawan sebenar bukan dalam kalangan rakan parti kerajaan, sebaliknya blok pembangkang yang sedang cuba menghidupkan semula politik perpecahan dan kebencian.
“Untuk itu, PH dan BN di Perak mesti melangkah seiring, saling menghormati, melengkapi dan bersatu hati menghadapi musuh politik di medan PRU16,” katanya.