Cabaran lebih besar perlu PN berikan perhatian - Penganalisis

SHAH ALAM – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu mampu menambah antara 15 hingga 22 kerusi baharu menerusi penyertaan parti bukan Melayu disifatkan sebagai optimis berlebihan dan kurang realistik.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, secara teori penyertaan parti bukan Melayu memang dapat membantu PN mendapatkan undi daripada kelompok tersebut di kawasan campuran atau bukan majoriti Melayu.

Bagaimanapun, katanya, terdapat cabaran besar yang perlu diberi perhatian PN iaitu sokongan akar umbi yang lemah, imej PN yang Melayu sentrik serta kedudukan parti kecil yang kurang kerusi dan sumber.

“Parti seperti Gerakan misalnya, telah lama kehilangan pengaruh akar umbi dan kerusi, hanya mencatat kemenangan sekali sahaja sejak 2014 iaitu pada 2023 di Kedah.

“MIPP juga kurang mampu menembusi akar umbi yang signifikan. MCA dan MIC yang sedang ditarik untuk menyertai PN pula lebih banyak bergerak atas sejarah lama dan kini kurang relevan di tengah perubahan dinamik.

“Secara keseluruhan, parti-parti ini bukanlah ‘pembawa undi’ yang kuat di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang memberi bayangan bahawa gabungan itu bakal diperkukuhkan dengan kerjasama lebih banyak parti termasuk MIC dan MCA sebagai ‘PN Plus’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut Awang Azman, pengalaman Gagasan Sejahtera iaitu Pas bersama Ikatan dan Berjasa pada PRU14 menjadi pengajaran apabila hanya Pas berjaya, manakala parti-parti bukan Melayu gagal mengekalkan deposit.

Justeru, Awang Azman berkata, tanpa penambahbaikan serius dalam imej retorik, platform inklusif yang jelas dan peningkatan kekuatan akar umbi parti bukan Melayu itu sendiri, realisasi sasaran tersebut amat mencabar.

“Jika benar-benar mahu capai sasaran tersebut, PN perlu memfokuskan kepada empat perkara utama iaitu merombak imej gabungan, bangun kekuatan akar umbi parti bukan Melayu, gabungan manifesto bersama dan pilih calon bukan Melayu kompeten di kerusi marginal.

“Rombak imej gabungan iaitu suara perkauman mesti dikurangkan, diganti dengan agenda inklusif. Selain itu, bangun kekuatan akar umbi parti bukan Melayu, merangkumi pelaburan organisasi dan jentera di kawasan bandar.

“Gabungan manifesto bersama pula bukan hanya undi, tetapi perlulah memperlihatkan dasar mesra semua kaum. Mereka juga harus pilih calon bukan Melayu kompeten di kerusi marginal,” katanya.