Pas mungkin jadi parti ‘tepu’

SHAH ALAM - Pas mungkin berada dalam keadaan tepu, kehilangan idea segar dan strategi politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang kerana pucuk pimpinan parti itu tidak pernah berubah untuk tempoh yang lama.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keadaan itu turut akan menyebabkan anak muda terutama kumpulan atas pagar dan masih tidak mempunyai parti serta kecenderungan arah mengundi akan menjauhkan diri daripada Pas.

Menurutnya, keputusan perwakilan memilih supaya tiada pencalonan untuk jawatan nombor satu dan dua parti itu bagi membolehkan penyandang mengekalkan kedudukan dipengaruhi pelbagai faktor.

“Faktor utama ialah konsep walak yang masih lagi kuat dan mencengkam ahli serta pemimpin Pas sehingga menjadi kompas kepada ahli serta pemimpin untuk memilih dalam mana mana muktamar.

“Malah konsep walak akan menyukarkan perubahan dan kesegaran politik diperlukan parti untuk bersaing dalam gelanggang politik semasa negara.

“Faktor seterusnya ialah parti masih sukar menerima kumpulan profesional untuk menerajui pimpinan tertinggi dan kini kita hanya lihat (Menteri Besar Terengganu) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sahaja daripada kumpulan profesional untuk jawatan pimpinan tertinggi Pas serta tidak lagi terbuka ruang tersebut untuk pemimpin atau tokoh profesional lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud pada Khamis memaklumkan, Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal mempertahankan jawatan Presiden Pas yang disandang beliau sejak 23 tahun lalu selepas disahkan menang tanpa bertanding pada Muktamar Tahunan Pas Kali ke-71.

Menurutnya, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden.

Selain itu, tiga Naib Presiden iaitu Ahmad Samsuri, Datuk Idris Ahmad dan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Abdullah, turut menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut, sekali gus menyaksikan barisan Top 5 kekal dalam pemilihan kali ini.

Sementara itu, ditanya mengenai tokoh yang dilihat layak untuk menggantikan Abdul Hadi sekiranya Ahli Parlimen Marang tersebut memilih melepaskan jawatan pada masa akan datang, Mohammad Tawfik berkata, Ahmad Samsuri merupakan calon berkelayakan.

“Beliau juga dekat dan rapat dengan Abdul Hadi serta mempunyai pengalaman pentadbiran negeri, malah beliau tidak ditolak oleh kumpulan pro ulama berbanding pemimpin dari kumpulan profesional lain.

“Justeru, beliau paling layak untuk meremajakan parti dan meluaskan pengaruh dalam kalangan pengundi atas pagar serta tidak mempunyai parti,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berpendapat, keputusan muka lama kekal menduduki barisan Top 5 parti boleh dianggap sebagai kelebihan kerana menandakan kesatuan dan kestabilan organisasi tersebut.

Namun katanya, dalam kerangka politik moden, ia juga boleh ditafsir sebagai tanda risiko parti menjadi tepu.

“Parti yang terlalu lama dikemudi oleh kepimpinan sama berpotensi kehilangan daya inovasi, khususnya dalam menghasilkan idea segar dan strategi politik yang mampu menarik sokongan generasi muda.

“Dalam konteks ini, Pas tidak terkecuali jika kepimpinan sedia ada gagal menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu politik nasional,” katanya.

Mengulas mengenai faktor perwakilan dan kawasan membuat keputusan tiada pencalonan untuk jawatan tertinggi, Hussain Yusri berkata, terdapat tiga aspek yang mempengaruhinya.

“Aspek pertama ialah karisma Abdul Hadi yang dianggap figura penyatu parti, sekali gus memberi legitimasi kuat terhadap kepimpinan beliau.

“Aspek kedua pula ialah budaya walak atau kesetiaan dalam Pas yang begitu menekankan disiplin jamaah dan kepatuhan kepada pimpinan. Hal ini menjadikan kecenderungan untuk mencabar jawatan tertinggi sebagai sesuatu yang kurang mendapat tempat,” katanya.

Beliau menambah, aspek ketiga pula berkaitan strategi politik di mana para perwakilan mungkin melihat mengekalkan status quo lebih selamat demi kelangsungan parti dalam menghadapi pilihan raya serta kerjasama politik semasa.