PAT Bersatu kecoh: 'Saya fokus ucapan, tidak jelas apa berlaku' - Muhyiddin

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau tidak mengetahui punca kekecohan yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada Sabtu.

Menurutnya, ketika insiden itu berlaku, beliau sedang memberi tumpuan penuh kepada ucapan perasmian program berkenaan.

"Saya tidak beberapa pasti. Walaupun saya berada di pentas, saya kena fokus pada ucapan saya.

"Saya tidak jelas dengan apa yang sebenarnya berlaku. Pihak keselamatan akan mendapatkan laporan penuh mengenai perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media PAT Bersatu di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Sabtu.

Sebelum ini, majlis PAT Bersatu kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak ketika presiden parti sedang menyampaikan ucapan dasar.

Kekecohan tercetus di bahagian tengah dewan, dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati.

Ujar Muhyiddin, beliau tidak terganggu dengan insiden berkenaan malah, menganggap kejadian itu sebagai perkara biasa.

Mengulas sama ada tindakan disiplin dikenakan terhadap ahli parti yang terlibat, beliau berkata akan menjawabnya selepas mendapat laporan daripada pegawai keselamatannya.

"Saya tidak terganggu dengan insiden yang berlaku dan anggap itu perkara biasa sahaja. Apa yang penting masih lagi bergerak sebagai parti politik dan kita lihat semangat secara keseluruhannya amat tinggi.

"Saya dimaklumkan majlis (PAT Sayap-Sayap Bersatu) pada pagi tadi berjalan dengan lancar dan esok (Ahad) kita akan sambung dengan perbahasan jadi saya tak fikir hal yang berlaku ini perlu menjejaskan perhimpunan secara keseluruhannya," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menafikan mengenai kewujudan kem tertentu dalam parti berkenaan yang menjadi antara punca kepada insiden kekecohan tersebut.

"Kem yang mana satu? Hanya ada satu kem sahaja.

"Tidak ada kem A, kem B atau kem C," kata beliau.