'Kekocohan ketika ucapan dasar Presiden memalukan parti' – Bersatu Hulu Langat

SHAH ALAM - Insiden kekecohan dan pergelutan yang berlaku semasa ucapan dasar presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai tindakan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah perhimpunan parti.

Ketua Penerangan Bahagian Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, sepatutnya tidak berlaku sebarang provokasi mahupun tindak balas terhadap provokasi ketika persidangan itu berlangsung

"Sebaliknya seluruh saf kepimpinan dan perwakilan dari seluruh negara wajar diberikan ruang untuk mendengar dasar serta matlamat perjuangan parti.

Menurutnya, sikap hormat-menghormati dan saling bertolak ansur amat penting bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Perkara ini perlu dititikberatkan agar Bersatu benar-benar bersedia menghadapi sebarang pilihan raya akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu malam.

Beliau berkata, insiden berkenaan bukan sahaja disaksikan oleh semua perwakilan, malah turut diperhatikan kepimpinan tertinggi yang hadir serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Diharapkan sidang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ini berjalan lancar dengan aman, damai dan harmoni pada hari berikutnya. Kita juga perlu percaya bahawa parti ini menghormati kebebasan bersuara dan semangat demokrasi,” ujarnya.

PAT Bersatu kali ini menghimpunkan ribuan perwakilan dari seluruh negara bagi membincangkan dasar perjuangan, hala tuju politik serta persiapan parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Ucapan dasar presiden dianggap antara acara kemuncak sidang tahunan itu dan menjadi tumpuan bukan sahaja ahli parti, malah juga pemerhati politik tanah air.