Kerajaan Madani gagal laksana janji reformasi - Muhyiddin

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal melaksanakan janji reformasi, selain menambah beban rakyat dengan dasar-dasar yang bercelaru.

Beliau berkata, rakyat semakin terhimpit akibat penghapusan subsidi, kenaikan cukai serta pengenalan cukai baharu yang melonjakkan harga barang dan perkhidmatan.

“Subsidi dihapuskan, kadar cukai dinaikkan, skop cukai diperluaskan dan cukai-cukai baharu diperkenalkan yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan melambung tinggi.

"Semakin terbebanlah rakyat. Ini betul-betul kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya ketika berucap pada PAT Bersatu 2025 di Shah Alam, malam ini.

Muhyiddin yang juga merupakan bekas Perdana Menteri itu turut membidas kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji terdahulu termasuk isu harga minyak, tol, hutang PTPTN serta pelantikan politik.

Jelasnya, kerajaan juga berdepan krisis keyakinan akibat dakwaan campur tangan politik dalam pendakwaan kes rasuah dan kelemahan tadbir urus negara.

Beliau menegaskan, data ekonomi turut membuktikan kelemahan pentadbiran semasa apabila pertumbuhan ekonomi merosot, pelaburan langsung asing (FDI) menjunam serta lebihan dagangan jatuh ke paras terendah dalam sejarah mutakhir.

“Sebaliknya, di bawah pentadbiran Perikatan Nasional, pemulihan ekonomi lebih pantas dan kukuh meskipun negara dilanda pandemik Covid-19. Malaysia merekodkan pertumbuhan tinggi, dagangan kukuh dan keyakinan pelabur yang meningkat,” ujarnya.

Justeru, menurut Muhyiddin, rakyat kini menuntut perubahan besar dan Malaysia mesti diselamatkan serta diletakkan kembali di landasan yang betul.