SHAH ALAM – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 merupakan titik penting bagi memperkukuhkan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu berkata, parti perlu bergerak sederap dan selangkah sebagai pasukan yang mantap untuk merebut mandat rakyat dalam tempoh dua tahun sebelum PRU16.
“Perhimpunan Agung Tahunan pada kali ini akan menjadi titik penting untuk kita semua membulatkan tekad, membina muafakat dan bergerak sederap serta selangkah sebagai sebuah pasukan yang mantap, kuat dan hebat untuk menyahut hasrat rakyat yang mahukan perubahan dalam kepimpinan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Sabtu.
Muhyiddin berkata, sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu, Bersatu berpegang kepada prinsip menentang kleptokrasi, memerangi rasuah dan membanteras penyalahgunaan kuasa.
Ujarnya, perjuangan parti itu berlandaskan lima teras idealisme iaitu inklusif, sederhana, demokratik, berintegriti dan prihatin.
“Walau dirempuh badai, walau dilanda taufan, kita tegak berdiri di atas prinsip perjuangan parti. Sesungguhnya, Bersatu memikul amanah besar demi agama, bangsa dan tanah air dengan tetap menghormati hak setiap rakyat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa model perkongsian kuasa berasaskan muafakat kaum adalah tunjang kestabilan negara sejak merdeka dan ia mesti dipertahankan.