SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap institusi negara semakin merosot, manakala ekonomi Malaysia pula menunjukkan tanda-tanda kelemahan ketara.
Beliau berkata, campur tangan eksekutif dalam institusi kehakiman menambah krisis keyakinan rakyat, khususnya selepas pendedahan oleh bekas Ketua Hakim Negara serta kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
“Malah, krisis keyakinan ini jelas apabila beribu-ribu rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung bangkit menuntut keadilan untuk Allahyarhamah adik Zara Qairina,” katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025, malam ini.
Menurut Muhyiddin, kedudukan Malaysia yang terus merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) membuktikan tadbir urus negara semakin lemah, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa.
Dakwanya, selain kegagalan menunaikan janji reformasi, kerajaan Madani turut gagal mengurus ekonomi negara apabila pertumbuhan hanya mencatat 4.4 peratus bagi suku pertama dan kedua 2025, lebih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia.
“Bank Negara Malaysia sendiri menurunkan unjuran pertumbuhan tahunan kepada 4.0 hingga 4.8 peratus, berbanding unjuran awal 4.5 hingga 5.5 peratus. Ini bukti kelemahan pengurusan ekonomi kerajaan Madani,” ujarnya.
Muhyiddin turut menarik perhatian terhadap perdagangan antarabangsa dan aktiviti perniagaan yang terus merosot, dengan lebihan dagangan menjunam daripada RM28 bilion pada Disember 2020 kepada hanya RM760 juta pada Mei 2025, iaitu paras terendah dalam sejarah mutakhir.
Selain itu, katanya, pertumbuhan jualan runcit turut jatuh mendadak daripada 22.8 peratus pada November 2022 kepada hanya 5.4 peratus pada Jun 2025, manakala pelaburan langsung asing (FDI) menjunam kepada RM1.61 bilion pada suku kedua 2025 berbanding RM15.57 bilion pada suku pertama.
“Kejatuhan ini menandakan pelabur asing semakin hilang keyakinan terhadap Kerajaan Madani yang gagal konsisten dalam dasar pelaburan,” ujarnya.
Sebaliknya, jelas Muhyiddin, ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN), pemulihan ekonomi lebih pantas dan kukuh walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.
“Daripada penguncupan -16.9 peratus pada suku kedua 2020, ekonomi melonjak kepada 16.2 peratus pada suku kedua 2021 dan 14.6 peratus pada suku ketiga 2022.
"Secara keseluruhan, ekonomi yang menguncup -5.5 peratus pada 2020 kembali pulih kepada 3.3 peratus pada 2021 dan melonjak 8.7 peratus pada 2022,” tambahnya.