KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal kukuh hingga habis penggal.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hakikatnya Perdana Menteri hanya boleh digantikan sama ada menerusi undi tidak percaya atau perpecahan sekiranya berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.
“Walaupun ada himpunan besar Turun Anwar dulu, Perdana Menteri kita insya-ALLAH akan kekal hingga Parlimen dibubar sebab kalau nak tukar Perdana Menteri ini mesti melalui Perlembagaan atau undi tak percaya dalam Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Kelantan di Kebun Sultan di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Adly Zahari.
Mohamad mengulas, dalam keadaan sekarang, tiada apa yang menggugat kedudukan Anwar sebagai pemimpin utama kerajaan.
“Kerajaan ketika ini utuh dan tidak timbul soal pertukaran Perdana Menteri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui landskap politik semasa lebih mencabar apabila media sosial menjadi medium penyebaran fitnah dan berita palsu.
“Media sosial boleh memberikan gambaran salah terhadap sesuatu perkara. Jadi semua pihak perlu bersedia menghadapi cabaran ini kerana imej parti boleh terjejas malah mempengaruhi tanggapan rakyat sebelum kebenarannya dibuktikan,” katanya.