Srikandi Muda Bersatu fokus tarik sokongan anak muda pada PRN Sabah

SHAH ALAM – Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah kini giat mendekati golongan muda bagi memastikan mereka memilih Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah merangkap Naib Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nabila Norsahar berkata, tumpuan utama adalah menarik perhatian anak muda kerana golongan itu penentu kepada hala tuju politik negeri.

“Kami di Sabah sedang berhadapan cabaran besar termasuk meyakinkan anak muda bahawa PN adalah pilihan terbaik untuk masa depan mereka.

“Hal ini penting kerana PN berdepan persaingan dengan parti-parti tempatan yang mendakwa mewakili suara rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Muda Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Sabtu.

Menurut Nabila, antara cabaran terbesar datang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menerajui kerajaan negeri.

Bagaimanapun, jelasnya, walaupun PN khususnya Bersatu adalah parti nasional, namun parti itu konsisten mengangkat suara rakyat seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, Bersatu tidak hanya tertumpu kepada kepentingan politik di Semenanjung, sebaliknya turut memperjuangkan isu-isu anak muda serta masyarakat di akar umbi Sabah.

“Bersatu adalah parti nasional yang benar-benar membawa suara rakyat, bukan hanya di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Parti ini membuktikan komitmen untuk mendengar suara anak muda,” ujarnya.

Justeru, Nabila mengingatkan agar Srikandi Muda memanfaatkan sepenuhnya platform yang ada dengan turun ke lapangan bersama rakyat.

“Srikandi Muda perlu turun ke lapangan, mendekati mahasiswa dan anak muda. Tidak ada guna bercakap soal ruang kepada anak muda jika kita sendiri tidak turun membantu mereka,” katanya.